Lelaki Turki ditahan polis pernah jumpa Najib pada 2011

najib_talk_600_newPETALING JAYA: Seorang daripada 3 warga Turki yang ditahan di Malaysia sejak 2 Mei lalu, Turgay Karaman pernah menemui Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur sebelum lawatan rasmi perdana menteri ke Turki pada Februari 2011, lapor The Guardian.

Dalam laporan itu, The Guardian turut menunjukkan gambar pertemuan itu dan menyatakan Turgay yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Dialog Turki-Malaysia ketika itu, menemu bual Najib.

Gambar dan butiran pertemuan itu disiarkan di Facebook persatuan berkenaan.

Turgay yang juga pengetua Time International School di Ipoh, ditahan di ibu negara pada 2 Mei lalu.

Polis turut menahan rakan senegaranya, Ihsan Aslan pada hari sama.

Keesokannya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya mengumumkan Turgay dan Ihsan ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan “mengancam keselamatan Malaysia” dan disiasat di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Isteri Turgay, Ayse Gul Karaman dan isteri Ihsan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar berkata, polis tidak pernah memaklumkan penahanan itu kepada mereka walaupun ketika laporan polis dibuat kerana menyangkakan 2 lelaki itu diculik.

Mereka hanya tahu suami ditahan polis berdasarkan laporan media yang memetik Khalid.

Pada hari sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Turgay dan Ihsan ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS.

Seorang lagi lelaki Turki, Ismet Ozcelik, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), ditahan pada 4 Mei lalu.

Ismet, seorang pensyarah universiti yang berkunjung ke Malaysia, pertama kali ditahan polis Malaysia pada Disember 2016 selepas pihak berkuasa Turki membatalkan pasportnya.

Selepas hampir sebulan dipenjarakan, Ismet dibebaskan dengan UNHCR mengeluarkan kad pelarian kepadanya.

Dalam pada itu, The Guardian melaporkan akaun media sosial Turgay mempromosikan pelbagai buku seperti masakan Turki dan sufisme, cabang mistik Islam yang dibenci penyokong tegar jihad.

Beliau dilaporkan turut mengikuti sebuah kumpulan rangkaian global untuk komuniti LGBT dan sekutu mereka dalam akaun Linkedln beliau.

Laman web dikendalikan pembangkang Turki membuat spekulasi Turgay, Ihsan dan Ismet mungkin menjadi mangsa buruan global kerajaan Turki.

Mereka takut ketiga-tiga individu itu dipaksa kembali ke Turki, di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan memburu sesiapa sahaja yang disyaki walaupun mempunyai kaitan jauh dengan pengkritiknya, lapor The Guardian.

Menurut laporan itu, agensi berita kerajaan Turki mendakwa Turgay mempunyai kaitan dengan Fethullah Gulen, seorang pendakwah disegani yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat dan dituduh kerajaan Recep Tayyip mendalangi cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Laporan itu turut memetik peguam Turgay sebagai berkata, polis memaklumkan tiada rekod anak guamnya ditahan ketika laporan polis mengenai kehilangannya dibuat.

Khalid hanya mengesahkan penahanan Turgay selepas berita mengenai “penculikannya” disiarkan dan isterinya merayu bantuan kerajaan menerusi sebuah video.

Semalam, polis mengesahkan 3 lelaki Turki itu ditahan di Bukit Aman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dan mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan. Sosma membenarkan polis menahan suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Polis memaklumkan keluarga dan peguam, mereka hanya boleh menemui suspek Khamis depan.

Zahid: 2 warga Turki ditahan disyaki terlibat dengan IS

Polis nafi warga Turki ditangkap atas arahan luar