MCA kenal pasti anak tempatan di kerusi Gelang Patah

liow-tiong-lai-mca1BENTONG: MCA sudah mengenal pasti anak tempatan untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, calon itu mendapat sambutan cukup memberangsangkan dan disukai penduduk di sana dan sudah diarah memulakan gerak kerja di peringkat akar umbi.

“Kita sudah kenal pasti dan sudah mula gerak kerja. Tapi kita akan serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk keputusan muktamad,” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) Bentong-Sabai, hari ini.

Liow yang juga menteri pengangkutan berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang Barisan Nasional (BN) Johor bersetuju meletakkan calon MCA bertanding di kerusi itu.

Pada PRU13, Kit Siang menewaskan bekas menteri besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Mengenai DAP, Liow berkata, “Rakyat tahu DAP tidak memberi sebarang khidmat. Mereka hanya pandai bercakap. Rakyat boleh lihat hanya BN mempunyai nilai teras seperti kesepakatan dan perpaduan yang membolehkannya memberikan khidmat dijanjikan, termasuk di Gelang Patah.”

Katanya, MCA akan menapis calon berpotensi sebelum mengemukakannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menentukan calon mereka bersih dan bertanggungjawab.

Liow berkata, MCA menyambut baik inisiatif SPRM untuk menapis calon bagi PRU14.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/06/bn-johor-letak-calon-mca-di-gelang-patah/