PAS lantik SU Politik Hadi ketua pengarah pilihan raya

pas-gugurKUALA LUMPUR: Datuk Mustafa Ali dan Datuk Iskandar Abdul Samad antara mereka yang digugurkan daripada barisan baharu kepimpinan PAS Pusat dan pesuruhjaya negeri susulan pemilihan berlangsung baru-baru ini.

Setiausaha Politik Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai ketua pengarah pilihan raya menggantikan Mustafa manakala jawatan Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai pesuruhjaya PAS Selangor diambil alih Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.

Pelantikan lain termasuk jawatan bendahari yang disandang Mohamad Noor Mohamad kini diambil alih Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria manakala jawatan pesuruhjaya Johor yang dipegang Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed kini milik Abdullah Hussin.

Datuk Husin Awang dilantik sebagai pesuruhjaya Terengganu bagi menggantikan ahli Jawatankuasa Pusat, Saiful Bahri Mamat.

Pelantikan diumumkan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti berkenaan, hari ini susulan pemilihan yang berlangsung baru-baru ini.

“Presiden telah memanggil mesyuarat khas ke-2 selepas muktamar untuk membuat pelantikan. Dalam perlembagaan parti, jawatan lantikan dibuat presiden, tetapi dengan syarat ia dibuat dalam dan dengan persetujuan mesyuarat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Iskandar digugurkan, Takiyuddin berkata, isu itu tidak timbul dan bukan disebabkan isu politik di Selangor.

PAS Selangor sebelum ini dilihat antara pihak dalam parti Islam itu yang kuat mempertahankan tahaluf siyasi (hubungan kerjasama) dengan PKR.

Muktamar PAS ke-63 minggu lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Malah, Takiyuddin berkata, Iskandar diminta menumpukan perhatian dalam pentadbiran Selangor dan peranannya sebagai naib presiden yang dikembangkan.

“Beliau kekal sebagai naib presiden, malah beliau naik pangkat (dengan peranan baru naib presiden),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 3 naib presiden kini diberi peranan baru menjaga beberapa negeri sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Iskandar akan menjaga zon tengah dan selatan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Idris Ahmad di zon utara, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula zon timur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula akan menguruskan soal ahli dan pengundi luar negara.