Pintu 4 bank di Ipoh pecah ditembak

bank-polisIPOH: Pintu cermin 4 bank di sekitar bandar raya Ipoh pecah dipercayai akibat perbuatan khianat selepas ditembak menggunakan senapang angin oleh individu tidak dikenali sejak awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Abdul Rani Alias berkata, pihaknya menerima 2 laporan di Balai Polis Daerah Kampung Rapat kira-kira pukul 2.25 pagi tadi selepas pintu cermin 2 bank di Medan Gopeng di sini, pecah.

“Kita kemudiannya menerima laporan kejadian yang sama berlaku di sebuah bank di Pusat Perniagaan Greentown dan Jalan Yang Kalsom, Pekan Baru masing-masing pada pukul 8.50 pagi dan 8.05 pagi tadi.

“Selepas diperiksa di kesemua bank berkenaan, kita mendapati cermin pada pintu masuk mesin teler automatik (ATM) telah pecah. Bagaimanapun, semua mesin dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rani berkata, hasil pemeriksaan di kawasan kejadian bagaimanapun tidak menjumpai sebarang objek yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Kita telah menghubungi pihak pengurusan bank bagi melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di setiap bank yang terlibat dan kita hanya boleh meneliti setiap video Isnin nanti,”katanya.

Abdul Rani berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan senapang angin selepas melihat kesan cermin pecah di setiap bank.

“Mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM) bagaimanapun tidak mempunyai tanda-tanda diusik atau cuba dipecahkan. Kita percaya motif utama kes ini merupakan perbuatan khianat,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.