RUU referendum PKR Sarawak gimik publisiti, dakwa BN
Sebaliknya, parti pembangkang, Parti Reformasi Negeri mahu RUU seumpama itu yang bersifat terikat dengan undang-undang dan dibawa ke Parlimen.
“Pilihan raya kita pegang setiap 5 tahun sudah menjadi satu bentuk referendum dan wakil rakyat mendapat mandat rakyat untuk bercakap bagi pihak mereka,” kata ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah kepada FMT.
PBB adalah komponen terbesar BN Sarawak.
“Untuk apa kita perlu membuang masa dan wang dengan mengadakan referendum lagi untuk setiap isu penting yang timbul?”
Selain itu kata beliau, kebangkitan media sosial membolehkan orang ramai menyatakan pandangan mereka dan ia boleh dilihat oleh kerajaan yang memerintah.
“Ini membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas untuk meminda atau menyediakan undang-undang atau dasar,” kata beliau, juga pembantu menteri negeri, yang menyifatkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, See Chee How sebagai gimik publisiti.
Bagi tujuan itu, Naib Pengerusi PKR Sarawak mahu membentangkan usul bagi rang undang-undang persendirian semasa persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Mei ini.
Dalam pada itu, Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Lina Soo juga mengkritik cadangan PKR, tetapi atas sebab-sebab yang berbeza berkata, rang undang-undang seumpama sepatutnya digubal untuk referendum yang terikat dengan undang-undang.
Pemimpin parti pembangkang itu berkata, referendum petunjuk yang tidak terikat adalah “satu pembaziran wang rakyat kerana kerajaan boleh membuang keputusan ke dalam tong sampah.”
“Satu referendum adalah berbeza kerana ia mengikat kerajaan kepada undi majoriti berkenaan satu-satu isu. Inilah yang kita mahu.”
Beliau juga berkata, rang undang-undang itu sepatutnya dicadangkan di Parlimen bukannya Dewan Undangan Negeri.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya, yang merupakan sebuah badan persekutuan. Jadi mengapa mencadangkan rang undang-undang dalam Dewan Undangan Negeri?” soal beliau.