Suami kami bukan pengganas, bebaskan mereka, kata isteri 2 warga Turki

Turkish-wives2KUALA LUMPUR: Isteri 2 lelaki Turki yang ditahan polis kerana disyaki terbabit aktiviti mengancam keselamatan negara, meminta polis segera membebaskan suami mereka.

Isteri Turgay Karaman, Ayse Gul Karaman bersama isteri Ismet Ozcelik, Hatice Ozcelik menemui wartawan di Publika hari ini untuk menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan suami mereka dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mendakwa 2 warga Turki – Turgay dan Ihsan Aslan yang ditahan pada 2 Mei lalu disyaki ada kaitan dengan IS.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, penahanan itu dibuat selepas Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia mengikuti pergerakan sejumlah individu yang disyaki terlibat dengan gerakan itu.

Ayse berkata, ia “tidak boleh diterima sama sekali” kerajaan Malaysia menuduh suaminya terbabit dalam perkara seperti itu.

“Ia masih boleh diterima jika mereka mendakwa beliau atas perkara lain, tetapi mereka menuduhnya atas satu perkara yang tidak munasabah dan dahsyat seperti terlibat dengan pembunuh,” katanya sambil menitiskan air mata.

“Saya tinggal di sini bersama suami saya selama 15 tahun. Malaysia bukan rumah ke-2 saya, ia adalah rumah saya kerana semua anak saya dilahirkan di sini. Apa yang boleh saya katakan ialah kerajaan Malaysia sepatutnya malu.”

Beliau mendakwa perkara terakhir suaminya akan lakukan ialah terbabit dalam keganasan kerana ia bertentangan prinsip dan kepercayaannya.

“Suami saya penyayang, prihatin dan penyabar. Beliau percaya semua orang, tanpa mengira warna kulit atau agama mereka, boleh hidup secara aman dengan satu sama lain. Saya tidak perlu kata suami saya tidak bersalah kerana dia memang tidak (bersalah)!”

Ayse bersama isteri Ihsan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar pada mulanya menyangkakan suami mereka diculik, tetapi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter pada Rabu lalu mengumumkan 2 lelaki itu ditahan polis.

Ayse hari ini memberitahu wartawan, beliau dihubungi seorang inspektor polis memaklumkan suaminya sudah ditahan, selepas mereka mengadakan sidang media pada Rabu lalu.

“Inspektor itu sangat baik kepada saya dan beritahu saya tidak perlu bimbang. Kemudian, suami saya menghubungi saya dan berkata beliau akan pulang mengambil pasportnya.

“Apabila beliau pulang bersama pegawai polis di luar, mereka cuba menyembunyikan beliau dan saya perlu beritahu mereka pasport itu ada dengan peguam. Itu adalah kali terakhir saya nampak suami saya, saya langsung tiada peluang bercakap dengannya.”

Dalam pada itu, Hatice berkata, polis tidak dapat membuktikan suaminya bersalah terhadap mana-mana jenayah.

“Kami percaya IS ialah organisasi pengganas dan kami menentang mereka. Kami juga percaya seperti yang tertera dalam al-Quran ‘membunuh seorang lelaki sama seperti membunuh manusia sejagat,” katanya.

“Kami yakin kerajaan Malaysia membuat kesilapan besar dan saya pasti ia akan diperbetulkan segera kerana tidak ada bukti terhadap suami kami.

“Kami tidak menyakiti seekor lalat pun, bagaimana anda boleh kata suami kami (dikaitkan dengan) IS?”

Semalam, The Star melaporkan Ismet ditahan sekitar 5.30 petang Khamis lalu ketika beliau menaiki kereta bersama anaknya, Suheyl dan seorang lagi individu tidak dikenali.

Telefon bimbit Ismet yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan anaknya turut dirampas.

Menurut laporan The Star, Ismet sepatutnya dibicarakan pada 3 dan 4 Mei lalu atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, perbicaraan itu terpaksa ditangguhkan ke 19 Mei ini kerana Turgay tidak dapat hadir sebagai saksi selepas ditahan polis.

Zahid: 2 warga Turki ditahan disyaki terlibat dengan IS

Polis nafi warga Turki ditangkap atas arahan luar