Zahid: Deradikalisasi mungkin diguna ke atas ekstremis asing

zahid-warga-asingBAGAN DATUK: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengguna pakai program deradikalisasi ke atas tahanan warga asing yang dipercayai terlibat dengan gerakan ekstremis sebagai antara usaha mengekang keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menegaskan untuk melaksanakan program itu ke atas warga asing, ia perlu mendapat kebenaran daripada negara terlibat terlebih dahulu.

“Deradikalisasi lazimnya untuk orang Malaysia yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti yang boleh memberi konotasi terhadap masalah penyebaran aktiviti keganasan.

“Tetapi, jika warga asing yang menjadi pengganas dan sembunyi di negara ini atas apa juga jawatan dan nama pekerjaan, kita masih boleh hantar mereka pulang ke negara asal, jika perlu deradikalisasi, kita akan laksanakan, bergantung kepada persetujuan negara berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra pemimpin bersama komuniti India Kampung Tradisional India Jalan Feri Simpang Empat Hutan Melintang hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengenai penahanan 3 warga Turki beberapa hari lepas kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan.

Menjelas lanjut, Zahid berkata, ketiga-tiga individu berkenaan terdiri daripada 2 ahli akademik dan seorang ahli perniagaan kini disiasat untuk mengetahui sama ada mereka terlibat dengan sebarang rangkaian pengganas antarabangsa atau bertindak secara individu.

“Kita tidak mahu ada warga asing di Malaysia sama ada yang mengikuti program ekspatriat atau pekerja mahir, separuh mahir atau menjadi pelancong mempunyai agenda tertentu di Malaysia.

“Kita harap langkah-langkah yang dilaksanakan seterusnya dapat menjadikan Malaysia bebas sepenuhnya daripada anasir keganasan dan elemen yang boleh merosakkan keharmonian negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, Jabatan Pendaftaran Negara menerima 4,300 permohonan mendapatkan kad pengenalan daripada masyarakat India yang tidak mempunyai dokumen itu, khususnya yang lahir sebelum kemerdekaan negara.

“Kita kumpulkan semua dokumen bagi yang tiada kad pengenalan yang berada di Malaysia sebelum 31 Ogos 1957 atau yang dilahirkan di Malaysia selepas tahun berkenaan dan mempunyai semua butiran kelayakan mengikut Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Zahid berkata, di Bagan Datuk, sebuah unit bergerak diwujudkan dengan kerjasama parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk serta kuil untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan supaya tidak timbul masalah, terutama mereka yang layak diberikan kad pengenalan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk mengumumkan beberapa berita gembira buat penduduk kampung tersebut, termasuk menghapuskan tunggakan cukai pintu dan meluluskan pemasangan 20 tiang lampu.

Selain itu, beliau juga mahu kampung tersebut dikeluarkan daripada pentadbiran Majlis Daerah Teluk Intan dan diletakkan di bawah Majlis Daerah Bagan Datuk dan menurap jalan di kawasan sekitar.

Zahid: 2 warga Turki ditahan disyaki terlibat dengan IS

Polis nafi warga Turki ditangkap atas arahan luar