Anggota baharu Kabinet Sarawak angkat sumpah

sarawak

KUCHING: Dua menteri penuh dan 2 menteri muda Kabinet Sarawak mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini, hari ini.

Dua menteri penuh itu ialah Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (menteri pelancongan, kebudayaan, kesenian, belia dan sukan) dan Datuk Talib Zulpilip (menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi integriti dan ombudsmen).

Abdul Karim dan Talib sebelum ini adalah menteri muda tetapi dilantik menjadi menteri penuh dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam.

Dua menteri muda baharu yang mengangkat sumpah hari ini ialah Abdullah Saidol (hal ehwal korporat di Pejabat Ketua Menteri) dan Snowdan Lawan (belia dan sukan).

Dalam rombakan Kabinet itu juga, pemangku Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak ke-3.

Beliau juga dilantik sebagai menteri kedua pembangunan bandar dan sumber asli sambil mengekalkan portfolio sebagai menteri pembangunan perindustrian dan usahawan.