Bekas hakim syarie: Perogol patut dilayan seperti penjenayah

Ismail-Yahya-1

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua hakim syarie Terengganu mengkritik hakim Mahkamah Syariah yang membenarkan perogol mengahwini mangsanya dengan mempersoalkan mereka kenapa hanya memilih sebahagian undang-undang Islam untuk dipatuhi.

“(Jika) nak guna agama, perlu guna semuanya. Jangan pilih bulu,” kata Datuk Ismail Yahya dalam sebuah forum perkahwinan kanak-kanak di Urbanscapes House, hari ini.

Merujuk kes seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dikahwinkan kepada perogolnya berusia 40 tahun di Sabah, Ismail berkata, lelaki itu sudah berkahwin ketika kejadian itu berlaku.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 3 Februari 2014 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 2 sebatan kepada bekas pengurus restoran, Riduan Masmud yang mempunyai 4 anak atas kesalahan merogol gadis bawah umur pada 18 Februari 2013 yang kemudian dikahwininya.

“Rogol bukan satu alasan sebab lelaki yang telahpun berkahwin, (jika) berzina dengan perempuan lain, lelaki seperti ini patut direjam, jadi dia tak layak berkahwin.

“Perogol patut dilayan seperti penjenayah dan dihukum.”

Mengenai perkahwinan bawah umur, beliau berkata, masalahnya ialah tiada garis panduan untuk dijadikan rujukan hakim Mahkamah Syariah.

“Dari dulu sampai sekarang, belum ada garis panduan untuk hakim (rujuk, sama ada mahu) lulus atau bantah (perkahwinan bawah umur).

“Rogol bukan alasan yang kukuh (untuk mengahwinkan mangsa dengan perogol).

“Perempuan bawah umur dirogol, sejauh mana perkahwinan itu (boleh memberi kebahagiaan) kepada anak itu dari segi layanan dan nafkah?” soalnya yang membantah mangsa berkahwin dengan perogolnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Teo Nie Ching berkata, adalah penting untuk umat Islam menyuarakan pendapat mereka dan membantah perkahwinan kanak-kanak.

“Setiap kali saya bangkitkan isu ini di Parlimen, saya masih mendapat banyak bantahan.

“Kebanyakan ahli Parlimen Islam takut bersuara lantang mengenainya, walaupun mereka bersetuju perkahwinan kanak-kanak perlu dihentikan.

“Itu sebabnya kita memerlukan umat Islam daripada orang awam bersuara supaya ia tidak kelihatan seperti ia datang daripada Teo sendiri yang ‘jahat’ atau DAP yang ‘jahat’ setiap kali saya membawa isu itu.”

Wakil rakyat DAP itu berkata, ia adalah tanggapan salah umum yang perkahwinan kanak-kanak ialah masalah khusus dihadapi umat Islam.

“Ramai orang bukan Islam turut mengahwinkan anak mereka demi ‘menjaga air muka’ apabila kanak-kanak itu mengandung.

“Keadaan yang kita (umat Islam dan bukan Islam) hadapi adalah sama dan bukan hanya umat Islam hadapi masalah ini.”

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman pula berkata, adalah penting untuk mempunyai imam, mufti dan hakim syariah yang sederhana bersuara mengenai isu ini.

“Ini perlu, terutama dalam konteks sensitif Malaysia.

“Tidak ada suara agama sah yang bercakap mengenai isu ini. Jadi, sukar untuk ahli Parlimen Islam menyokongnya.”