Harga minyak: Pembangkang tak berlaku adil kepada saya, kata Najib

najib-petrol

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan sikap pembangkang yang hanya mengutuk beliau apabila harga bahan api mengalami kenaikan, tetapi tidak bertindak sebaliknya bila harga pasaran tempatan menurun.

Najib menyifatkan parti dan pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai hanya pandai ‘menyerang’ dan mengkritik kerajaan meskipun kritikan mereka selalu tidak masuk akal, tidak waras dan tidak rasional.

“Saya bagi contoh. Bila harga minyak petrol naik (disebabkan harga minyak di pasaran antarabangsa naik), mereka kata perdana menteri (PM) yang naikkan. Dia (pembangkang) persalahkan siapa? PM.

“Bila harga minyak turun, (pembangkang kata) harga pasaran punya (sebab harga pasaran antrabangsa turun). Itu tak adil. Kalau harga naik, saya kena kutuk, kalau harga turun patutnya saya dapat pujian,” kata beliau dipetik Bernama.

Kata Najib, parti pembangkang juga tidak mempunyai agenda positif dan tidak boleh dijadikan sandaran oleh rakyat untuk menjamin masa depan negara yang lebib maju dan makmur.

Sejak bulan lalu kerajaan mengumumkan penetapan harga bahan api secara mingguan. Dalam tempoh lima minggu yang lalu, harga petrol dan diesel mengalami kenaikan dua kali dan turun sebanyak tiga minggu. Harga terbaharu akan diumumkan Rabu ini.

Najib yang juga menteri kewangan pertama berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Negaraku di Padang Perbandaran Sandakan di sini hari ini.

Sebagai contoh lagi, kata Najib, apabila kerajaan membawa pelabur China melabur di negara ini, pembangkang tuduh kerajaan menjual kedaulatan negara namun apabila kerajaan mengambil keputusan membatalkan perjanjian pelaburan itu, pembangkang mempertikaikannya pula.

Sehubungan itu, kata Najib, rakyat tidak boleh meletakkan harapan kepada parti dan kepimpinan parti pembangkang kerana perjuangan mereka cuma demi kepetingan politik masing-masing dan bukan untuk masa depan rakyat dan negara.

“(Parti Pembangkang) mana boleh tubuh kerajaan yang stabil. Parti Keadilan Rakyat fikir lain. DAP fikir lain. (Tun Dr) Mahathir fikir lain. (Datin Seri) Dr Wan Azizah fikir lain. (Tan Sri) Muhyiddin fikir lain, (Datuk Seri) Shafie fikir lain.

“Tengok kenyataan-kenyataan mereka. Macam-macam kenyataan. Hari ini cakap lain, lusa cakap lain. Itu sebab saya kata mereka ini (pembangkang) pakar ‘U’ turn,” katanya.

Najib juga mendakwa pembangkang cuba menipu rakyat dengan menjanjikan kononnya jika mereka (pembangkang) berkuasa, mereka akan hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain mempersoalkan ke mana baki daripada RM41 bilion GST yang dikutip kerajaan setiap tahun setelah ditolak RM6 bilion yang diberikan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Duit yang baki tu pergi ke mana? Pergi kepada pasukan keselamatan kita, ke sekolah kita, kepada guru-guru kita, hospital kita, doktor kita, jururawat, jalan raya, air dan lain-lain lagi semuanya untuk kesejahteraan rakyat,” tegas Najib.

Justeru Najib menegaskan: “Usahlah tipu, kalau menang dia (pembangkang) kata nak mansuhkan GST.”

“Dia (pembangkang) boleh cakap senang, cakap ni murah tuan-tuan.Apa yang keluar daripada mulut kita ini murah. Tetapi kalau kita tarik RM41 bilion daripada bajet, daripada mana kita nak ‘tutup’ (tampung) ruang itu?” kata beliau.

“(Kalau RM41 bilion dikeluarkan daripada bajet), dari mana nak cari RM41 bilion. Mungkin terpaksa membuang penjawat awam.

“Mungkin elaun penjawat awam terpaksa kena potong. Mungkin BR1M kena mansuhkan, mungkin projek perumahan rakyat tak dapat buat, mungkin jalan raya tak boleh laksanakan, mungkin Lebuh Raya Pan Borneo tergendala,” katanya.