Najib: Jangan terpedaya slogan Sabah Untuk Sabah

najib-razak,-minister,-parti-warisan-sabah,-umno,-bn,SANDAKAN: Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat Sabah jangan terpengaruh dengan slogan ‘Sabah Untuk Sabah’ atas alasan beliau sebagai perdana menteri akan melakukan yang terbaik untuk negeri itu dan rakyatnya.

Sebagai contoh, kata beliau, Sabah merupakan negeri penerima peruntukan pembangunan kerajaan pusat terbesar untuk 2 tahun Rancangan Malaysia kesebelas (RMK-11) dengan peruntukan RM9 bilion iaitu 10.3 peratus daripada bajet keseluruhan kerajaan pusat.

“Kita juga buat sesuatu yang lebih daripada apa yang diduga atau difikirkan oleh rakyat. Sebagai contoh Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo untuk Sabah. Orang Sabah sudah lama menunggu. Dua puluh lima tahun menunggu Lebuh Raya Pan Borneo.

“Seorang pernah menjadi perdana menteri 22 tahun tetapi tak buat Pan Borneo untuk Sabah. Saya belum cukup 22 tahun. Saya mungkin tak sampai 22 tahun (jadi PM). Tetapi sudah buat Lebuh Raya Pan Borneo,” tegas Najib dipetik Bernama.

Bukan itu sahaja, kata Najib, malah lebuh raya berkenaan tidak akan mengenakan sebarang tol kerana “saya nak hadiahkan ini kepada Sabah”.

Najib berkata, fasa pertama projek itu, kerajaan pusat membelanjakan RM12.8 bilion untuk pembinaan lebih 700 kilometer lebuh raya dari Sindumin, Sipitang ke Tawau dan apabila siap sepenuhnya fasa-fasa yang lain, projek itu dijangka menelan kos lebih RM20 bilion.

Slogan Sabah Untuk Sabah yang disifatkan sebagai slogan lama dilaporkan diaktifkan kembali ekoran perubahan landskap politik di negeri itu.

Tahun lalu, bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti itu dan menubuhkan parti sendiri iaitu Parti Warisan Sabah.

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan program Ekspresi Negaraku di Padang Perbandaran Sandakan di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Kata Najib, semangat patriotik atau cinta kepada negara serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kedaulatan negara ini mesti ada dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

Beliau berkata, jika rasa cinta dan kesanggupan berkorban untuk mempertahankan negara itu sudah tersemat kukuh dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, tiada siapapun akan dapat mengganggu gugat kedaulatan negara ini.

“Kita tahu bahawa kalau kita ada semangat mempertahankan negara kita, maka negara kita akan terus maju ke hadapan kerana tidak ada mana-mana musuh negara sama ada dari luar atau dari dalam yang berani membuat angkara untuk merosakkan negara ini atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat mengenai bahaya sekiranya ada ‘musuh dalam selimut’ dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang menimpa anggota keselamatan semasa peristiwa pencerobohan pengganas Sulu pada tahun 2013.

Najib yang mengimbau pengorbanan Supt Ibrahim Lebar yang berasal dari Semenanjung berkata, anggota keselamatan berkenaan dan rakannya yang bertugas di Semporna terkorban dalam peristiwa itu kerana ada anggota polis sendiri membocorkan rahsia operasi kepada musuh.

“Saya nak beritahu bahawa sekiranya kita bersatu dan cinta kepada negara kita, tidak ada musuh dari luar boleh membuat angkara dan mengancam bumi Sabah.”
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/07/sabah-tak-perlu-jadi-negeri-orang-suruhan-kerajaan-persekutuan/