Kawalan modal China punca perjanjian Bandar Malaysia terbatal

ho-kee-ping

PETALING JAYA: Langkah terbaru China mengawal aliran modal dari negara itu antara faktor perjanjian jualan saham (SSA) untuk projek Bandar Malaysia terbatal minggu lalu.

Pakar ekonomi, Prof Hoo Kee Ping dipetik Channel News Asia semalam sebagai berkata, Beijing enggan memberi kebenaran kepada China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) untuk menyertai pembelian saham projek itu disebabkan dasar kawalan modal yang ketat.

Katanya, projek itu yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar terkumpul sebanyak RM150 bilion adalah antara projek membabitkan China yang tidak memahami sepenuhnya implikasi ekonominya.

“Semua projek ini membabitkan China dari 2015 sehingga sekarang, dilakukan tanpa memahami sepenuhnya keadaan kewangan yang semakin teruk.

“(Jadi sekarang) projek China, sama ada perusahaan milik negara atau swasta, selagi mereka tidak strategik, mereka akan tersingkir. Perlu ada makna strategik untuk kepentingan geopolitik China.”

Pada 3 Mei lalu, TRX City Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan mengumumkan SSA dengan Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan CREC membabitkan penjualan 60% daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd sudah luput dan terbatal.

TRX City yang merupakan pemaju induk Bandar Malaysia dilaporkan berkata, ia berpunca daripada kegagalan IWH-CREC membuat pembayaran bagi pemilikan kepentingan dalam Bandar Malaysia.

IWH-CREC bagaimanapun menafikan dakwaan mereka gagal membuat pembayaran, sekalipun sudah diberikan penangguhan sebanyak 12 kali. Sebaliknya, konsortium kerjasama China-Malaysia itu menegaskan mereka sudah membuat semua bayaran kepada TRX City seperti termaktub dalam SSA.

IWH-CREC dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata, mereka mempunyai kemampuan dan sumber kewangan mencukupi untuk memastikan pembangunan Bandar Malaysia dilaksanakan secara lancar dan berjaya.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan seluas 197 hektar yang akan dimajukan di tapak lapangan terbang lama, Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi, 7 kilometer (km) dari pusat bandar raya.

Kerajaan sebelum ini berkata, projek yang dijangka mengambil masa 15 hingga 25 tahun untuk disiapkan itu, akan menawarkan 220,000 peluang pekerjaan.

Ia juga bakal menjadi hentian terakhir bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR) yang dijangka siap pada 2026.

Beliau dalam temu bual bersama FMT pada 13 Mac lalu memberi amaran jumlah projek terbengkalai di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan meningkat susulan dasar ketat China ke atas kawalan modal bagi mengekang aliran keluar mata wang yuan.

Beliau berkata, langkah agresif China itu akan menjejaskan pemaju hartanah tempatan dan antarabangsa.

Menurut laporan CNA, pelaburan Bandar Malaysia mungkin tidak lagi mempunyai kepentingan strategik untuk China.

Ia turut memetik sumber sebagai berkata, Malaysia yakin mempunyai masa secukupnya untuk mencari pelabur lain dengan syarat lebih baik.

Dipetik CNA, beliau berkata, Beijing mungkin tidak mahu meneruskan perjanjian Bandar Malaysia kerana percaya mereka tidak akan mendapat projek HSR memandangkan Jepun mempunyai peluang lebih cerah.

Projek HSR yang dianggarkan bernilai RM43 bilion dan dijangka bermula awal tahun depan, mampu mengurangkan masa perjalanan antara KL-Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 270km/sejam.

Landasan sepanjang 350km itu melibatkan 8 hentian – Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Rafizi: Krisis 1MDB akan berulang

Asli: Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia kes terpencil

Bandar Malaysia: Apa yang perlu anda tahu