Pencuri kabel cedera ditembak polis

geng-teloi

SUNGAI PETANI: Polis menembak seorang daripada suspek “Geng Teloi” dan merampas 30 batang wayar kabel bernilai RM2,000 dalam kejadian di Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi apabila polis menerima laporan berkenaan kes curi kabel yang dilakukan suspek lelaki berumur 29 tahun itu dan 2 rakannya di Taman Berlian Indah, dekat sini.

“Anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat itu terus bergegas ke lokasi sebelum bertembung kenderaan jenis Proton Perdana yang dinaiki semua suspek,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Zukir berkata, menyedari kegiatan mereka dihidu polis, suspek memecut kenderaan mereka, namun ia terbabas dan terlanggar tangga pintu depan surau Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau.

Dua lagi suspek lelaki berumur 26 dan 33 tahun terus melarikan diri akibat panik dengan kejadian itu.

Bagaimanapun, suspek berumur 29 tahun itu cuba meluru ke arah seorang daripada anggota MPV sambil memegang sebilah kapak.

“Polis yang mempertahankan diri terpaksa melepaskan 1 das tembakan yang mengenai paha kanan suspek,” katanya.

Melalui pemeriksaan pada kenderaan suspek, polis menemui semua kabel berkenaan bersama 2 pemotong kabel, 1 tukul tajam, 1 penukul besar dan 1 gulung wayar kabel Telekom Malaysia (TM).

Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Polis percaya suspek melakukan kegiatan itu lebih daripada sekali dengan modus operandi menarik kabel yang dipotong menggunakan kereta,” katanya.

Katanya, polis kini dalam usaha mengesan 2 lagi suspek yang melarikan diri.