Sabah serah laporan khas gesa Najib pulih hak negeri

Teo-Chee-Kang_sabah_600PETALING JAYA: Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Teo Chee Kang berkata satu laporan khas untuk memulihkan hak-hak negeri Sabah dan penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

The Star memetik Chee Kang berkata, Kabinet negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman juga telah mengadakan pertemuan berhubung perkara itu dengan Najib.

Beliau berkata, tuntutan bagi kajian semula geran kewangan persekutuan khas, yang wajib setiap 5 tahun di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, Musa juga telah menggesa kerajaan persekutuan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah dalam mengisi jawatan ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan di negeri itu.

“Kami juga meminta kerajaan persekutuan mengkaji semula dasar kabotaj,” kata beliau.

Najib mengumumkan keputusan pengecualian dasar kabotaj ketika lawatan ke Sandakan hari ini.

Chee Kang berkata, Kabinet negeri menyentuh mengenai isu-isu pemulihan hak negeri dan penurunan kuasa.

“Ini dapat direalisasikan melalui keputusan pentadbiran tanpa meminda mana-mana undang-undang atau peruntukan Perlembagaan,” katanya yang juga Pengerusi Penyemakan Hak Negeri, yang dilantik kerajaan negeri untuk mendapatkan maklum balas mengenai hak-hak negeri dan pandangan rakyat mengenai isu itu.