SPRM: 3 sindiket di KL beri penguat kuasa rasuah RM5 juta sebulan

sprm-judi-rasuahPETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mendedahkan pihaknya mempunyai bukti terdapat penguat kuasa di negeri di selatan tanah air melindungi sindiket judi dan pelacuran dengan bayaran RM1.2 juta sebulan.

Menurutnya, bukti berbentuk dokumen itu ditemukan pihaknya ketika melakukan operasi negeri tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, SPRM juga mempunyai maklumat terdapat 3 sindiket di ibu negara yang memperuntukkan RM5 juta sebulan kepada penguat kuasa untuk melindungi kegiatan haram mereka.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kedua-dua kes tersebut, lapor Utusan Online.

“Kita tidak mahu mengganggu siasatan, namun kita bercakap berdasarkan dokumen yang kita jumpa.

“Kita tak cakap tanpa apa-apa bukti. Apa yang boleh dikatakan, kedua-dua kes ini adalah berbeza. Namun, penemuan siasatan ini amat membimbangkan. Ini berdasarkan jumlah (wang rasuah) terlibat amat besar,” katanya.

Dzulkifli memberitahu, negara ketika ini mempunyai masalah kerana walaupun mempunyai penguat kuasa yang menjaga sempadan tetapi tetap bolos dengan kemasukan senjata, dadah dan berlakunya kegiatan judi haram.

“Ini berlaku di merata-rata tempat kerana adanya rasuah. Penguat kuasa yang sepatutnya diamanahkan membanteras menjadi sebaliknya. Inilah realitinya,” katanya.

Ketika ditanya adakah kedua-dua kes tersebut melibatkan pegawai penguat kuasa di peringkat atasan, Dzulkifli memberitahu, pihaknya turut menyiasat perkara itu.