Webcam ceroboh privasi pelajar, kata kumpulan ibu bapa

datin-noor-azimah-webcam-sekolahPETALING JAYA: Sebuah kumpulan ibu bapa mempersoalkan sama ada berbaloi untuk menceroboh privasi pelajar dengan memasang webcam dalam kelas supaya ibu bapa boleh memastikan anak mereka berkelakuan baik di sekolah.

Ia susulan laporan The New York Times bulan lalu yang mendedahkan Yuzhou No 1 High School di tengah China memasang webcam dalam bilik darjah untuk mengesan pelajar bermasalah disiplin.

Tetapi, adakah amalan itu perlu dilaksanakan di sesetengah sekolah di Malaysia?

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim sebaliknya bertanya kepada ibu bapa jika mereka suka privasi diceroboh sedemikian di tempat kerja mereka.

“Ibu bapa juga perlu bekerja. Adakah mereka suka webcam merakam mereka ketika bekerja dan majikan mengawasi mereka sepanjang masa? Saya rasa tidak.

“Jadi, ini kes sama dan saya anggapnya sebagai pencerobohan. Saya pasti pelajar tidak mahu ibu bapa mereka mengawasi mereka ketika berada dalam kelas,” katanya kepada FMT.

Menurut laporan The New York Times, ramai pelajar dari Yuzhou No 1 High School menganggap pemasangan webcam itu sebagai pencerobohan privasi. Ini seterusnya mencetuskan perbincangan hangat di China mengenai privasi, etika pendidikan dan risiko “helicopter parenting” atau ibu bapa terlampau melindungi anak.

Azimah berkata, ia adalah tugas guru memastikan pelajar berkelakuan baik dan menjadi tanggungjawab pengetua serta pentadbir sekolah memastikan guru menjalankan tugas mereka.

“Sebab itu kita ada pengetua dan pentadbir di sekolah untuk memastikan guru memainkan peranan mereka dengan baik dan berkesan. Itulah sebabnya kita membayar mereka juga.

“Ini (memasang webcam dalam bilik darjah) saya rasa agak keterlaluan,” katanya sambil menambah tidak banyak sekolah yang mampu menampung kos itu.

“Ada CCTV di sesetengah sekolah, tetapi ia dipasang di koridor dan kawasan terbuka, bukan dalam bilik darjah. Juga, hanya pengetua mempunyai akses kepadanya.”

Azimah juga tidak bersetuju webcam dalam bilik darjah akan menjadi peralatan baik untuk menghalang guru daripada bertindak kasar ke atas pelajar mereka.

“Guru adalah profesional dan kita perlu percaya mereka sehingga tahap tertentu. Memasang webcam tidak banyak membantu dalam mengesan guru yang mungkin bertindak kasar kerana jika sekolah itu mahu melindungi mereka, maka ia akan mencari jalan berbuat demikian.”