Zahid: Pendidikan kunci masyarakat ‘piramid’ jadi ‘permata’

zahid-smc-1

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional berjaya mengubah struktur masyarakat Malaysia daripada majoriti berstatus miskin kepada ramai golongan pertengahan menerusi sistem pendidikan negara, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, kejayaan itu berkat sistem pendidikan cemerlang yang berjaya mengangkat taraf sosial rakyat.

“Dahulu masyarakat kita berbentuk piramid – golongan kaya sedikit dan golongan miskin banyak…Orang kaya menguasai golongan menengah dan kumpulan bawah.

“(Tetapi) kerajaan di bawah pimpinan dahulu hingga Datuk Seri Najib Razak menukar bentuk piramid ini kepada ‘permata’ – kelas pertengahan lebih besar daripada golongan elit dan miskin tegar,” katanya pada majlis perasmian ulang tahun ke-35 Sri Murugan Centre (SMC) di SMK Vivekananda Brickfields, hari ini.

SMC ialah pertubuhan tidak berkeuntungan yang menumpukan pendidikan masyarakat India di Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, P Kamalanathan.

Zahid berkata, kerajaan komited membasmi masalah kemiskinan dalam semua kaum, termasuk India.

“Dalam soal membasmi kemiskinan, saya ‘buta warna’. Kemiskinan tetap kemiskinan dan perlu ditangani.”

Katanya, harga rumah dan barang keperluan terlalu tinggi serta kos pendidikan swasta mahal antara faktor menyebabkan “keluarga jatuh miskin”.

“Saya melihat aspek ini bersama rakan-rakan menteri, dan bukan hanya membuat resolusi tanpa susulan. Saya adalah ‘man of action’ dan akan membantu perdana menteri (dalam menanganinya),” katanya.

zahid-smc-2

Pada 23 April lalu, Najib melancarkan rancangan pembangunan 10 tahun “Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India” melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi kaum itu.

Antara program yang bakal diperkenalkan adalah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, bantuan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam, dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang India yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.