Bekas aktivis reformasi mohon pengampunan Agong bebaskan Anwar

otai-reformasiKUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas aktivis reformasi yang dipanggil Otai Reformis hari ini berkumpul di luar Istana Negara bagi memohon pengampunan diraja untuk bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saari Sungib yang mengetuai lebih 50 penyokong itu menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara, Che Hilmy Che Musa bagi meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk membebaskan Anwar serta-merta.

Mereka mendakwa penahanan Anwar bermotifkan politik di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Antara tuntutan kami menerusi memorandum kepada Agong supaya Anwar dibebaskan. Pertama kerana Anwar seorang yang berjuang untuk rakyat, dia juga seorang negarawan dan tidak sepatutnya diberi layanan sebegini.

“Ke-2, melibatkan isu kesihatan yang tidak diberi perhatian seadilnya terhadap Anwar dan tuntutan ke-3 berdasarkan keputusan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang penahanan beliau bermotif politik dan sekaligus memburukkan negara,” katanya kepada pemberita di luar Istana Negara.

Saari yang juga adun Hulu Kelang berkata, hanya dengan membebaskan Anwar dari penjara mampu membersihkan nama Malaysia di mata dunia.

Katanya, kumpulan itu akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bersama NGO lain dalam usaha untuk membebaskan Anwar.

Turut hadir ialah wakil DAP Ronnie Liu; Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Selain Otai Reformasi, keluarga Anwar terlebih dahulu memfailkan petisyen pengampunan diraja daripada Agong sebelum ini, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 2015 sebagai usaha terakhir untuk membebaskan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja atas sabitan meliwat Anwar.

Pada 24 Jun 2016, bekas ketua pembangkang itu bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan 2 anak perempuan mereka memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi beliau pada 16 Mac tahun sama.

Pada Disember 2016, Azizah dilaporkan berkata, beliau mungkin mendapatkan pengampunan daripada Agong baharu, Sultan Muhammad V, sekiranya keputusan semakan semula di mahkamah tidak memihak kepada ketua umum PKR itu.

Beberapa peguam yang ditemubual FMT pada 15 Disember 2016 berpendapat, satu-satunya cara untuk Anwar kembali aktif dalam politik ialah menerusi pengampunan penuh Agong.

Peguam, Jagjit Singh dilaporkan berkata, permohonan itu bagaimanapun perlu dibuat sendiri oleh Anwar, bukannya melalui peguam atau ahli keluarga.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

 

 

Rayuan keputusan tolak petisyen diraja Anwar 18 Jan ini

Mahkamah benar Anwar cabar keputusan Lembaga Pengampunan

Pengampunan penuh atau Anwar perlu tunggu hingga usia 78