Bekas pelajar Permata kini berjaya, kata Rosmah

rosmah-permata

LONDON: Seramai 15 pelajar perintis Kolej Permata Pintar yang dilancarkan 6 tahun lepas bukan sahaja tamat pengajian sarjana muda di usia muda, malah kini ada yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Permata, berkata seorang daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan 8 orang lagi di peringkat sarjana.

Khoo Jia Hui kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di United Kingdom, sedang mengikuti pengajian bidang biokimia di University of Oxford, katanya.

Rosmah berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama pelajar Permata Pintar dan peserta Bengkel Permata Science Institute di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rosmah berkata untuk peringkat sarjana, 4 orang sedang belajar di Amerika Syarikat dan 3 lagi di universiti di Malaysia.

Sementara yang lain telah bekerja termasuk seorang memulakan karier di sebuah syarikat berasaskan teknologi ternama dunia iaitu di Apple Inc, katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 26 lagi pelajar Permata Pintar yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi berprestij di United Kingdom di peringkat sarjana muda.

Antara bidang yang diambil ialah ekonomi, kejuruteraan dan perubatan dengan bantuan tajaan daripada Petronas, Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat dan Khazanah Nasional Berhad, katanya.

Rosmah berkata beliau juga membantu Khoo untuk mendapatkan biasiswa daripada Pavilion Reit dan Malton Berhad untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD apabila memerlukan bantuan selepas mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford.

“Ini jelas membuktikan bahawa Program Permata Pintar itu sendiri melangkaui batas sempadan, sentiasa ke hadapan dan merentasi segala halangan untuk menyediakan modal insan kebanggaan negara, suatu masa nanti,” katanya.

Rosmah juga berkata dalam usaha mengembangkan lagi program Permata Insan, beliau telah mengadakan lawatan ke Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), Universiti Oxford untuk meneroka peluang dan potensi untuk bekerjasama.

“Alhamdulillah, dalam sesi perbincangan tersebut, kami mengenal pasti peluang kerjasama untuk menjalankan aktiviti pendidikan, termasuk mengadakan program kepimpinan atau kem kepimpinan untuk pelajar Permata Insan dan Permata Pintar,” katanya.

Beliau berkata selain itu, menyediakan ruang dan peluang untuk program pertukaran tenaga pengajar.

Rosmah juga berkata seramai 26 pelajar Permata Pintar, Permata Insan, Maktab Rendah Sains Mara, pelajar Kementerian Pendidikan dan saintis muda serta 6 guru kini berada di sini untuk mengikuti Bengkel Permata Science Institute.

Mereka akan menyertai bengkel itu selama 10 hari bermula dari Isnin hingga 17 Mei yang dijalankan dengan Royal Society London dan sebahagian besar dana disumbangkan oleh Yayasan Permata, sementara Yayasan Hasanah turut menyumbang sedikit dana, katanya.

“Bengkel ini merupakan sebahagian Program Nobel Minda, satu inisiatif yang dibina untuk melahirkan bakal Nobel Laureate,” katanya.

Beliau berkata bengkel ini merupakan kesinambungan Bengkel Nobelist Mindset yang dijalankan setiap tahun di Pusat Permata Pintar yang bermula pada 2012, dan Bengkel Permata Science Institute pula diadakan 2 kali iaitu pada 2014 dan 2015 di New York dengan kerjasama New York Academy of Sciences.

“Dan telah dapat mencapai objektif serta memberikan impak yang positif terhadap minat pelajar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” katanya.

Rosmah berkata apabila melihat program itu berjaya mencapai matlamatnya, kerjasama dijalankan.

“Sehingga kini, bengkel tersebut telah melibatkan 2,000 pelajar, guru dan penyelidik muda dari universiti di Malaysia,” katanya.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.