DAP: Proses bantahan pengundi SPR jejas parti pembangkang

santiago-spr-malaysiaSHAH ALAM: Sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan orang ramai membantah pengundi berdaftar menyukarkan parti pembangkang mendapatkan pengundi baharu.

Daripada 274 pengundi berdaftar di 2 kawasan Parlimen yang mendapat bantahan, hanya suku daripada mereka tampil mencabar bantahan itu, menurut Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata dalam tempoh masa 9.00 pagi ke 1.00 tengah hari yang diperuntukkan untuk mendengar bantahan di pejabat SPR di sini, hanya 49 pengundi terkesan dari kawasannya tampil antara 9.00 pagi dan 12.00 tengah hari manakala 28 pengundi dari Petaling Jaya Selatan.

Beliau menambah pegawai SPR enggan memberikan angka dikemaskini mereka yang tampil pada 1.00 tengah hari.

Apabila bantahan dibuat terhadap seorang pengundi, SPR akan mengeluarkan surat kepada pengundi untuk tampil ke pendengaran untuk mencabar kes itu. Sekiranya gagal tampil, nama mereka akan dikeluarkan daripada daftar pengundi.

Pendengaran hari ini bagi Klang dan PJS membabitkan mereka yang berdaftar sebagai pengundi antara Oktober dan Disember tahun lepas.

Santiago mewakili DAP di Klang sementara Hee Loy Sian mewakili PKR di PJS. Selain Santiago dan Loy Sian, penyelaras PKR bagi DUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri juga hadir ke pejabat SPR.

Santiago menuduh Umno menyalahgunakan sistem untuk mengeluarkan nama daripada daftar pengundi di kawasan yang dimenangi pembangkang.

Bercakap kepada pemberita di pejabat SPR, beliau berkata perbualan dengan seorang pegawai SPR menyebabkan beliau percaya Umno mendalangi bantahan itu dan kaedah yang digunakan terhadap pengundi dari kawasan Pakatan Harapan terbukti berkesan.

“Saya persoalkan mengapa pengundi yang dibantah perlu daftar (untuk pendengaran) sebelum 1.00 tengah hari pada Isnin dan saya beritahu (pegawai) tidak mungkin kesemua 274 pengundi boleh didengarkan antara 9.00 pagi dan 1.00 tengah hari.

“Pegawai itu beritahu secara purata, hanya separuh daripada pengundi terkesan akan datang untuk pendengaran. Ini menunjukkan pembantah berjaya mengurangkan jumlah orang yang mereka percaya akan mengundi Pakatan Harapan,” katanya.

Ditanya mengapa Pakatan Harapan tidak mengambil tindakan serupa terhadap pengundi pro-Umno, beliau berkata: “Saya tidak fikir Pakatan mahu menjadi sebahagian daripada itu.”

Loy Sian juga mendakwa selepas memeriksa nama pembantah, beliau dapati mereka terdiri daripada orang yang memegang jawatan dalam Umno bahagian.

Menurutnya, mereka itu termasuk Naib Pengerusi Wanita Umno PJS Norazimah Mahmud dan ahli Umno PJS Azaman Arshad.

Loy Sian juga menyelar pampasan “kecil” yang SPR diberikan kepada pengundi yang berjaya terbalikkan bantahan terhadap mereka.

Pampasan RM100 dibayar kepada pengundi yang boleh membuktikan bantahan terhadap pendaftaran mereka tidak berasas.

“RM100 2 atau 3 tahun lalu mungkin nilai yang besar, tapi hari ini tidak seberapa,” katanya.

Ketika sidang media sedang berjalan, seorang pengundi keluar dari pejabat SPR dan berkata beliau kerugian RM1,600 kerana terpaksa melepaskan projek bebas yang sepatutnya dijalankan hari ini untuk pendengaran SPR.

Azmizam menggesa SPR supaya melanjutkan tempoh masa untuk pengundi mencabar kes mereka.

“Daripada mengadakan pendengaran dari 9.00 pagi ke 1.00 tengah hari, saya harap SPR melanjutkan masa ke tempoh waktu bekerja dan tidak menyusahkan pengundi berdaftar, terutamanya apabila statistik menunjukkan masih ada 4 juta orang yang belum berdaftar.

“Ini suatu ketidakadilan kepada mereka, yang dibantah atas banyak alasan yang tidak masuk akal.”

Charles berkata antara alasan yang diberikan seorang pembantah adalah tiada respon diterima apabila dia mengetuk pintu rumah seorang pengundi pada waktu malam.