DAP tidak mahu Mega MyDaftar dijadikan propaganda politik

rayer-indian

PETALING JAYA: DAP berharap kempen “Mega MyDaftar” yang diumumkan baru-baru ini untuk membantu orang India Malaysia yang tidak mempunyai dokumen pengesahan diri tidak digunakan sebagai propaganda oleh MIC untuk memancing undi menuju pilihan raya umum ke-14.

Adun Seri Delima RSN Rayer berkata 23 pusat seluruh negara mesti beroperasi secara berkesan untuk menyelesaikan masalah 300,000 orang India tanpa kerakyatan dan tidak digunakan sebagai pusat untuk kempen BN.

“Selepas 60 tahun kemerdekaan, mengejutkan apabila ada sejumlah 300,000 yang tidak memiliki MyKad dan sijil kehalhiran, dan berdepan masalah kewarganegaraan.”

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata angka itu tidak diperbesar-besarkan dan usaha MyDaftar, seperti yang diumumkan Presiden MIC D S Subramaniam, sudah lama tertangguh.

“Saya berharap pengumuman itu, yang diumumkan menuju PRU-14, usaha ikhlas untuk membantu mereka yang mengalami kesusahan dalam kehidupan seharian kerana gagal diberi MyKad dan sijil kelahiran.”

Subramaniam semalam mengumumkan kempen akan berjalan dari 3 Jun ke 26 Jun sebagai kesinambungan kempen “MyDaftar” yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, apabila 12,000 permohonan diterima daripada mereka yang mengalami masalah itu.

Rayer meminta lokasi pusat di Pulau Pinang, kerana kerajaan negeri juga mahu membantu orang India tanp kerakyatan di sana.

“Ada beberapa kejadian sebelum ini di mana pelajar India tidak dapat mendaftar di sekolah kerajaan dan menduduki peperiksaan kerana kekurangan dokumen yang sah.

“Diharapkan perkara itu akan menjadi sejarah di bawah kempen ‘Mega MyDaftar’.”

Subramaniam, semasa mengumumkan kempen itu, berkata pembangkang salah apabila mendakwa 300,000 orang India belum memiliki MyKad.