Gegar sampai almari bergoyang, penduduk bimbang pembinaan DASH

DASH_bantah

SHAH ALAM: Projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2020, tetapi mengundang keresahan kepada penduduk yang mendakwa lebuh raya bertingkat itu menceroboh kawasan perumahan.

Ganasan Arumugam, seorang penduduk dari Villa Suria di Seksyen U9 di sini, bagaimanapun menafikan membantah pembinaan lebuh raya berkenaan.

Sebaliknya, Ganasan, 44, berkata projek itu perlu mengambil kira kepentingan penduduk khususnya melibatkan keselamatan nyawa dan kediaman mereka.

Beliau bimbang keselamatan penduduk Villa Suria kian terancam apabila pemasangan tiang rasuk laluan bertingkat itu di kawasan perumahan mereka, iaitu kira-kira 20 meter dari kediaman penduduk.

“Apa yang kita nak, jangan bawa lebuh raya bertingkat dalam rumah kami kerana hartanah di sini milik kami.

“Bila kita beli rumah, pemaju cakap ini rumah kamu dan ini adalah tanah kamu. Sekarang dia cakap ini rumah kamu, tapi tanah bukan milik kamu, ini tidak adil kepada penduduk di sini, ” katanya kepada FMT dalam lawatan ke tapak binaan di hadapan kediamannya.

Lebuh raya DASH oleh kerajaan persekutuan menelan belanja hampir RM10 bilion ini mendapat kelulusan tanah daripada kerajaan Selangor dan mula dibina Ogos tahun lepas.

Sebelum ini, beberapa pihak daripada parti politik dan badan bukan kerajaan menyuarakan bantahan terhadap kerajaan negeri berhubung rancangan pembinaan DASH dan juga Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), atas alasan menjejaskan kawasan perumahan penduduk.

DASH sepanjang 20km bermula dari Puncak Perdana di Shah Alam, menghubungkan Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara, Damansara Perdana dan Mutiara Damansara, sebelum tamat di Lebuhraya dan menyusur ke Lebuhraya Damansara–Puchong dan Lebuhraya Sprint.

Kerajaan berkata projek itu menjadi pelengkap kepada 4 lebuh raya yang ada sekarang iaitu LDP, Penchala, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Ujian tanah gegar rumah

Ganasan berkata lebih mengecewakan apabila kontraktor lebuh raya itu didakwa melakukan ujian tanah tanpa pengetahuan dan kelulusan penduduk setempat.

Beliau memberi contoh ujian tanah baru-baru ini yang berlaku pada jam 1 pagi.

“Bila saya periksa dengan pihak kontraktor apa tujuan ujian tanah itu dilakukan, dia cakap lebuh raya DASH nak masuk, ada 3 tiang tinggi akan berdepan dengan rumah saya di barisan terakhir perumahan ini,” dakwanya.

Sementara itu, penduduk Marzuki Affendi Mahidin, 41, bimbang gegaran daripada tiang rasuk laluan bertingkat itu di hadapan pagar perumahan.

“Sekarang pun boleh rasa gegaran kuat di rumah bila jentera berat buat kerja di seberang jalan rumah. Isteri dan anak-anak yang duduk di rumah pun boleh rasa gegaran sampai almari bergoyang dan gelas bergegar..

“Kita boleh bayangkan macam mana tahap gegaran yang terpaksa kami hadapi dan sudah tentu gegarannya berganda berbanding apa yang berlaku dalam tempoh 2 minggu sekarang,” katanya.

Bagi Aizar Othman, 40, kedudukan tiang rasuk terlalu dekat dengan rumahnya boleh menjejaskan kehidupannya memandangkan dia mempunyai anak kecil.

“Bayangkan bagaimana keadaan rumah kami nanti bila projek pembinaan itu makin dengan pagar rumah kami.”

Khalilawaty Khairuddin, 39, pula berkata, sekiranya pembinaan itu melepasi dinding pagar perumahan itu, dia khuatir keselamatan anak-anak akan terancam.

“Bila ada kenderaan jentera berat di dalam kawasan rumah saya, semestinya ada risiko besar kepada kami terutamanya kanak-kanak, mereka tak boleh bermain secara selamat lagi.

“Bila dinding penahan itu diroboh, keselamatan kami tidak terjamin kerana pekerja binaan akan bebas untuk berkeliaran dan boleh mengundang jenayah,” katanya lagi.

Putus harapan, pihak bantah lebuh raya ikrar lawan Pakatan Harapan