GLC akan rugi jutaan ringgit, kata DAP mengenai pembatalan IWH-CREC

boo-cheng-hauPETALING JAYA: Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau berkata pembatalan pelaburan konsortium ICSB dalam Bandar Malaysia akan memberi impak buruk kepada syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Dalam ucapannya pada sesi pembukaan dewan undangan negeri di Johor Bahru hari ini, Cheng Hau berkata Iskandar Waterfront Holdings (IWH) memegang 60% ekuiti ICSB sementara baki 40% lagi dipegang China Railway Engineering Corporation (CREC).

Melalui 40% ekuiti dalam IWH, katanya, KPRJ mempunyai 14.4% kepentingan dalam projek Bandar Malaysia jika rundingan tersebut menjadi kenyataan.

Mengingatkan KPRJ dijangka memikul RM1.7 bilion pelaburan dalam Bandar Malaysia daripada keseluruhan RM7.41 bilion yang dilakukan ICSB, beliau berkata syarikat pelaburan kerajaan negeri itu dijangka memikul RM178 juta daripada deposit RM740 juta ICSB.

“Jika ICSB gagal memenuhi tanggungjawab kontrak seperti yang diumumkan TRX City Sdn Bhd, bahagian KPRJ daripada deposit RM178 juta itu boleh dilucuthakkan, dan kerugian dalam pulangan masa depan daripada pelaburan jangka masa panjang dijangka RM28.8 bilion jika rundingan itu menjadi kenyataan,” katanya.

“Ini akan memberi impak kepada status kewangan KPRJ dan reputasinya.”

Pada 3 Mei lepas, TRX City berkata perjanjian penjualan saham (SSA) dengan IWH dan CREC berhubung penjualan 60% daripada modal berbayar dan terbitan Bandar Malaysia terbatal.

Ia dikatakan kerana kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dalam kenyataannya, TRX City berkata walaupun lanjutan diberikan, IWH-CREC gagal menunaikan tanggungjawab pembayaran sepertimana yang termaktub dalam syarat SSA, yang ditandatangani pada 31 Disember 2015.

“Berikutan itu, SSA antara pihak terbabit terbatal berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Berikutan itu, melihat kepada peningkatan nilai tanah Bandar Malaysia, pemegang saham tunggal TRX City, kementerian kewangan, akan mengekalkan 100% pemilikan ke atas kawasan itu bagi memastikan rakyat menerima manfaat daripada keseluruhan pembangunannya.

Hari ini, Cheng Hau berkata menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015, KPRJ perlu mengkaji semula pengurusan pretasi 18 anak syarikatnya.

“Lapan belas anak syarikat KPRJ mempunyai dana pelaburan RM432 juta dan RM144 juta dalam 9 usahasama.

“Bagaimanapun, hanya 6 daripada 18 anak syarikat yang aktif, manakala 12 lagi tidak aktif. Hanya 1 daripada 18 anak syarikat meraih keuntungan, manakala 17 lagi mengalami kerugian terkumpul menjelang 2014.

“Kerajaan Johor perlu mempertimbangkan untuk menggulung anak syarikat KPRJ yang tidak aktif untuk mengelakkan kerugian.”

Cheng Hau menambah kerajaan Johor tidak boleh enggan berunding dengan kerajaan persekutuan demi mempertahankan kepentingan negeri.