Jururawat beri makanan kepada gelandangan

homeless_food_6001_newKUALA LUMPUR: Thean Chai Wan ternampak kelibat seorang gelandangan beratur untuk mendapatkan makanan percuma dari jauh.

Lelaki tanpa kedua-dua tapak tangan itu – mendapat perhatian Thean yang sudah 13 tahun menjadi jururawat.

Thean mendekati lelaki itu untuk bercakap dengannya, sebelum menghulurkan semangkuk bubur kacang merah manis.

Lelaki itu pada mulanya teragak-agak, tetapi beliau kemudiannya menikmati pencuci mulut yang masih panas itu tanpa sebarang bantuan.

Thean berkata, perkara pertama yang difikirkannya ialah memastikan lelaki itu boleh makan sendiri.

“Sebagai jururawat, kami mahu pesakit berasa mereka boleh berdikari dan bukannya tidak berguna,” katanya kepada FMT.

Jururawat wad pediatrik di Hospital Gleneagles itu antara 15 jururawat menawarkan diri di Pit Stop Community Cafe, di Jalan Tun HS Lee yang menyediakan makanan kepada gelandangan di ibu negara setiap malam.

Jururawat kanan itu menyertai rakan sekerjanya dalam program pemberian makanan semalam sebagai sebahagian aktiviti tahunan mereka sempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 12 Mei ini.

Thean mengambil keputusan untuk menjadi jururawat selepas bapanya meninggal dunia.

“Bapa saya meninggal dunia akibat kanser ketika saya masih muda dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu. Jadi, saya bertekad mahu membantu orang lain apabila mereka sakit. ”

Pengalaman menjaga neneknya di hospital mendorong Usha Moorthy untuk memilih kerjaya “mulia” itu.

Beliau berumur 15 tahun ketika seorang pesakit bersebelahan neneknya mengalami batuk teruk dan tanpa pengawasan.

“Saya beritahu diri tidak akan membiarkan sesiapa menderita lagi.”

Hari ini, Usha yang juga jururawat di Hospital Gleneagles gembira dapat membantu gelandangan dengan mengedarkan peralatan mandian dan pakaian terpakai pada hari cutinya.

“Sebagai jururawat, kita akan melaksanakan tugas kita sebaik mungkin.”

Selain menyertai program memberi makanan kepada gelandangan, Pengurus Kanan Khidmat Masyarakat Hospital Gleneagles, Samiha Abd Aziz berkata, hospital swasta itu turut menganjurkan program kesedaran pendidikan mengenai kehidupan sihat.

Katanya, jururawat akan pergi ke sekolah di kawasan bandar dan mendidik kanak-kanak tentang kepentingan kehidupan sihat.