Kastam: Cubaan seludup lebih RM9 juta sisik tenggiling gagal

kastam_tenggiling_600

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan penyeludupan sisik tenggiling terbesar tahun ini yang melebihi RM9 juta dalam 2 kes berasingan, minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim berkata, dalam kes pertama, Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menemui 8 guni disyaki di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA, pada jam 11 pagi 2 Mei lalu.

 

tenggiling

“Guni yang ditahan tersebut tiba melalui penerbangan Emirates Airline dari Accra di Ghana yang transit di Dubai ke KLIA.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas guni-guni tersebut menemui lebih kurang 408kg sisik tenggiling bernilai anggaran RM5,263,200.

“Siasatan awal menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas tersebut dicatatkan sebagai ‘General Product’ dalam Air Waybill (Surat Tanda Terima Pengiriman) dan alamat yang digunakan adalah palsu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA hari ini.

Paddy berkata, dalam kes ke-2 pula, pihaknya menemui 10 guni disyaki dalam pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA, pada jam 4 petang 3 Mei lalu.

“Guni-guni yang ditahan tersebut tiba melalui penerbangan Kenya Airways dari Kinshasa, Congo ke Nairobi, Kenya dan kemudian transit di Dubai melalui penerbangan Emirates Airline ke KLIA.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas guni-guni tersebut menemui lebih kurang 304kg sisik tenggiling yang bernilai anggaran RM3,921,600.

“Siasatan awal menunjukkan sisik tenggiling dirampas tersebut dicatat sebagai ‘Dry Herbs’ di dalam Air Waybill dan alamat yang digunakan juga adalah palsu.”

Sehingga kini, katanya, belum ada tangkapan dibuat dalam 2 kes itu.

Beliau berkata, sisik tenggiling ialah barang dilarang import di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), kecuali dengan permit.

Tambahan, katanya, ia turut disenaraikan barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda atau maksimum 20 kali ganda daripada nilai barangan disita atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan, Rozidan Md Yasin berkata, dianggarkan lebih 1,400 tenggiling dibunuh untuk mendapatkan sisik berkenaan.

“Dipercayai harga sisik ini mencecah RM1,000 sehingga RM1,500 bergantung kepada negara yang menjadi lokasi penyeludupan itu.”

Katanya, sisik tenggiling digunakan untuk rawatan tradisional bagi penyakit seperti demam dan demam malaria, tetapi sehingga kini tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan keberkesanannya.