Kecuali Mekah, kami boleh hancurkan seluruh Arab Saudi, kata Iran

hossein-dehghan-iran-benderaDUBAI: Iran mengugut akan menyerang Arab Saudi selepas seorang putera Arab Saudi mengancam melancarkan “perang” ke atas Iran.

“Jika Arab Saudi melakukan sesuatu yang bodoh, kita tidak akan meninggalkan mana-mana kawasan tanpa ‘disentuh’ kecuali Mekah,” kata Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan dipetik agensi berita Tasnim.

“Mereka fikir mereka boleh melakukan sesuatu kerana mereka mempunyai tentera udara,” katanya merujuk kepada Yaman di mana pesawat pejuang Arab Saudi kerap menyerang pemberontak Houthi yang dilihat bersekutu dengan Iran.

Dehghan bercakap kepada TV Al-Manar, mengulas kenyataan Timbalan Putera Mahkota Arab Mohammed bin Salman Selasa lepas, yang berkata pihak yang cuba menyebarkan pengaruh di kalangan Sunni dan Syiah perlu tinggal “di Iran, bukan di Arab Saudi”.

Arab Saudi dan Iran bersaing untuk mendapat pengaruh di Timur Tengah dan meraih sokongan dalam perang saudara Syria.

Iran menafikan tuduhan Arab Saudi yang mereka menghantar bantuan kewangan dan tentera sebagai menyokong kumpulan yang dimusuhi Riyadh di dunia Arab.

Dalam temu bual di televisyen nasional Selasa lalu, Putera Mohammed menolak sebarang dialog dengan Iran dan berjanji melindungi kerajaan konservatifnya daripada apa yang beliau gelarkan sebagai usaha Tehran menguasai dunia Islam.

“Kita tahu kita adalah sasaran utama rejim Iran. Kita tidak akan menunggu sehingga perang terjadi di Arab Saudi tetapi kita akan usahakan supaya perang berlaku di Iran dan bukannya di Arab Saudi,” katanya.