Lelaki tipu jual iPhone 6 diberkas polis

sell-ip6

KULIM: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang aktif melakukan penipuan menjual telefon bimbit iPhone 6 secara dalam talian membabitkan kerugian bernilai RM140,285.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata, lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Bentong, Pahang itu ditahan pada 4 Mei lalu jam 7 malam di Taman Cempaka Ipoh, Perak.

“Suspek bergiat aktif secara berseorangan dan modus operandi yang digunakan ialah mengiklankan iPhone 6 di laman web mudah.com, aplikasi Whatsapp dan Wechat menggunakan nama Jason Lee Chee Kiong.

“Dengan menawarkan harga murah, suspek meminta mangsa memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank yang diberinya dan menghilangkan diri selepas transaksi dilakukan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya ketika ditahan, polis turut merampas 5 kad ATM milik suspek dan bapanya yang digunakan untuk memperdayakan mangsa serta 2 kad sim telefon.

Siasatan mendapati suspek mempunyai 9 rekod jenayah dan dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan 23 kes penipuan pembelian telefon bimbit yang tidak wujud.

Suspek kini ditahan reman sehingga 11 Mei bagi siasatan lanjut dan kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.