MBSA perlu baiki tembok segera, bukannya berbahas, kata Khalid

khalid-samad-mbsa

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membaiki segera tembok penampan rumah di Seksyen 9 Shah Alam yang runtuh minggu lalu, bukannya berbahas dengan penduduk terjejas.

“Sambil perbahasan punca robohnya tembok dan atas sebab salah siapa dibahas dan diselidik, keselamatan di kawasan tersebut perlu diutamakan,” kata pengarah komunikasi Amanah itu dalam kenyataan semalam.

Beliau bimbang keadaan bertambah teruk memandangkan hujan lebat turun hampir setiap hari dan runtuhan berlaku sejak beberapa minggu lalu sehingga mencemaskan penduduk.

“Saya difahamkan keadaan ini diketahui MBSA dan mereka telah meminta tuan rumah melakukan pembaikan. Ini kerana mengikut MBSA, kesilapan berlaku di pihak tuan rumah yang membina tembok itu secara tidak betul.

“Pihak tuan rumah pula menyalahkan kerja-kerja naik taraf perparitan yang menurutnya terbengkalai untuk beberapa ketika. Mengikut tuan rumah, kerja-kerja ini telah menyebabkan tembok penampan yang dikatakan telah dibina sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya roboh.”

Khamis lalu, 147 keluarga di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9, Shah Alam bimbang dengan keselamatan mereka susulan kejadian tebing runtuh kali ke-2 berhampiran kawasan perumahan itu.

Penduduk setempat menyalahkan kejadian tanah runtuh itu disebabkan kerja penambahbaikan longkang di kawasan terbabit.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan MBSA, Shahrin Ahmad yang dipetik Bernama pula menuding jari ke arah pemilik rumah terjejas kerana mereka sudah dimaklumkan untuk membaiki sendiri tembok pagar itu ekoran mendapan tanah dan runtuhan tembok berlaku dalam kawasan kediaman pemilik.

“Jabatan Kejuruteraan MBSA mengadakan pemeriksaan sebelum ini dan hasil pemerhatian mendapati tembok pagar rumah penduduk dibina tanpa mempunyai asas kukuh dan hanya diletakkan di atas dinding tembok parit yang asalnya bukan dibina untuk menampung bebanan tambahan daripada tembok pagar rumah berkenaan,” kata Shahrin.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/04/147-keluarga-terancam-selepas-tebing-runtuh-di-shah-alam/