PM pesan jangan terpedaya berita palsu

najib_social-media_1600KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini dinasihatkan tidak terpedaya dengan berita palsu kerana ada pihak tertentu ingin ‘memberikan gambaran berbeza’ tentang Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata pihak terlibat melakukannya demi kepentingan mereka sendiri dan menyebarkan berita tidak benar mengenai negara ini.

“Jangan tertipu dengan berita palsu. Sudah lebih daripada cukup dan kita tidak mahu ia mengaburkan pencapaian dan kejayaan program transformasi Malaysia, satu transformasi untuk semua rakyat, apapun pandangan mereka, yang harus dibanggakan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 hari ini.

Persidangan 2 hari bermula hari ini dihadiri pemimpin industri terkemuka, pembuat dasar dan perwakilan dari seluruh dunia.

Najib berkata orang yang benar-benar tahu mengenai Malaysia juga menyedari terdapat banyak sebab untuk yakin terhadap negara ini.

Najib berkata orang sedemikian tahu di bawah kepimpinan kerajaan terdapat tahun pertumbuhan yang sihat yang melahirkan 2.26 juta peluang pekerjaan baharu.

Beliau juga berkata kadar pengangguran dan inflasi dapat dikurangkan dan Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50%.

“Perkara ini tidak akan berlaku secara kebetulan. Ia berlaku kerana kerajaan mempunyai rancangan. Rancangan itu dapat disampaikan dan akan terus disampaikan,” kata Najib.