Purata kes demam denggi setiap minggu menurun

Subramaniam_denggi_600

SUNGAI PETANI: Purata kes demam denggi yang dicatatkan setiap minggu di seluruh negara menunjukkan penurunan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya, purata kes dicatatkan setiap minggu tahun ini ialah antara 1,700 hingga ke 1,800 kes berbanding tahun lalu iaitu 3,300 hingga ke 3,400 kes seminggu.

Bagaimanapun katanya jumlah itu dijangka meningkat bermula Ogos ini disebabkan beberapa faktor antaranya cuaca dan perubahan serotaip virus denggi (serotype shift), yang menyebabkan demam denggi.

“Sehubungan itu semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota masyarakat perlu berganding bahu dalam usaha memerangi demam denggi,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Meletakkan Batu Asas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Keladi hari ini.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata SJKT Taman Keladi merupakan sekolah tamil yang ke-528 yang dibina di negara ini, untuk membantu anak kaum India mendapat pendidikan awal persekolahan.