Reman peniaga larikan lori MBPP disambung 2 hari

direman-polis-van-pemanduGEORGE TOWN: Reman 2 lelaki yang melarikan lori Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Khamis lalu ketika gerai makanan haram mereka diserbu, dilanjutkan 2 hari lagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis memohon lanjutan terhadap reman 3 hari yang diberikan Jumaat lalu.

Beliau berkata, semalam, pendaftar mahkamah membenarkan reman dilanjutkan 2 hari lagi untuk membantu siasatan, menjadikan tempoh keseluruhan reman sebanyak 5 hari.

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu akan dibawa ke mahkamah Rabu ini.

Polis menyiasat 2 lelaki berumur 28 dan 34 itu di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Malam Khamis lalu, 2 lelaki itu melarikan lori milik MBPP yang tidak dimatikan enjin, dalam usaha mengelakkan gerai haram mereka diserbu buat kali ke-4.

Mereka memandu lori itu sejauh 2km ke Balai Polis Pulau Tikus, di mana mereka membuat laporan terhadap penguat kuasa MBPP yang menyita gerai mereka.

Mereka turut merakamkan video perjalanan mereka menggunakan telefon bimbit dan memuat naik rakaman selama 3 minit itu ke Facebook.

Dalam video itu, mereka mendakwa MBPP hanya bertindak ke atas peniaga Melayu dan membenarkan peniaga bangsa lain menjalankan perniagaan tanpa diganggu.

Pegawai MBPP berkata, gerai itu beroperasi secara haram di atas tanah rizab kerajaan dan sudah membuat serbuan sebanyak 3 kali sejak April 2016.

Mereka turut menafikan dakwaan MBPP berat sebelah terhadap orang Melayu dengan mengemukakan statistik menunjukkan sepanjang 4 bulan pertama tahun ini, peniaga Cina paling banyak diserbu penguat kuasa, diikuti Melayu dan India.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/05/peniaga-bawa-lari-lori-mbpp-ditahan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/05/berang-gerai-diserbu-peniaga-bawa-lari-lori-mbpp/