‘Saya hanya pengerusi program selawat’

malaysia-berselawat-2013

PETALING JAYA: Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah hari ini menafikan pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan Al-Abrar, seperti dilaporkan FMT sebelum ini.

Syed Mehdhar menjelaskan beliau hanya dilantik sebagai pengerusi program “Malaysia Berselawat” anjuran yayasan itu.

“Saya hanya dilantik sebagai pengerusi program Malaysia Berselawat oleh pihak Yayasan Al-Abrar bagi tujuan mengendali, mengurus dan memastikan program berkenaan berjalan lancar di Stadium Bukit Jalil, pada 7 Dis 2013.

“Istilah pengerusi yayasan dan pengerusi program tersebut merupakan 2 perkara yang jelas berbeza, pengerusi program dilantik oleh pihak penganjur iaitu Yayasan Al-Abrar yang bersifat sementara manakala pengerusi yayasan adalah suatu jawatan yang dipegang berdasarkan ketetapan yayasan,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Syed Mehdhar menyangkal laporan FMT sebelum ini yang memetik beliau sebagai pengerusi yayasan itu.

“Tajuk tersebut memberi gambaran secara langsung atau tidak langsung kepada umum bahawa saya selaku pengerusi Yayasan Al-Abrar tidak tahu menahu mengenai akaun, sumber dan aspek pengurusan kewangan yayasan itu tetapi hakikatnya saya bukanlah pengerusi yayasan seperti dakwaan kedua-dua individu tersebut,” katanya.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada 3 Mei lepas dalam satu sidang media menamakan 3 pihak yang dilaporkan sebelum ini menerima wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad daripada akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

NOTA EDITOR: Dalam laporan FMT bertarikh 3 Mei 2017, Syed Mehdhar dilaporkan sebagai pengerusi Yayasan Al-Abrar. Seperti dijelaskan berita di atas, beliau sebenarnya pengerusi program anjuran yayasan itu. FMT memohon maaf atas kesilapan itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/03/saya-tak-pasti-kerana-tak-jaga-akaun-kata-pengerusi-yayasan-al-abrar/