‘Usah spekulasi jika jutawan China akan labur Bandar Malaysia’

ong-ka-chuan

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelaburan Bandar Malaysia sebelum pihak terbabit membuat pengumuman rasmi.

Beliau berkata demikian susulan khabar angin baru-baru ini kononnya orang terkaya dari China, Wang Jianlin dan jutawan dari Malaysia merangkap Pengerusi Eksekutif Malton Berhad, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan berganding membida projek Bandar Malaysia.

Ong dipetik Oriental Daily berkata, sebelum kerajaan Malaysia dan pelabur terbabit membuat pengumuman rasmi, semua pihak perlu berhati-hati dalam membuat spekulasi positif atau negatif kerana ia akan menjejaskan prestasi pasaran saham pelabur.

Ketika menghadiri sebuah program di Putrajaya hari ini, beliau menggesa orang ramai bersabar kerana Datuk Seri Najib Razak mungkin membuat pengumuman berkaitan projek Bandar Malaysia ketika beliau mengadakan kunjungan ke China pada pertengahan bulan ini.

Ini kerana katanya, kunjungan perdana menteri ke China kali ini akan membincangkan projek Bandar Malaysia dan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.

Ditanya mengenai khabar angin mendakwa jualan 60% ekuiti Bandar Malaysia kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) terbatal kerana kerajaan berhasrat menaikkan harga jualan, Ong berkata: “Ia membabitkan transaksi komersial, kita sebagai orang luar tidak faham sebab perjanjian itu terbatal.”

Bagaimanapun, beliau berkata, Bandar Malaysia akan menjadi pusat pembangunan terbesar di Kuala Lumpur yang akan menggerakkan banyak aktiviti ekonomi kerana ia akan menempatkan terminal untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR), pusat perdagangan dan tumpuan pembangunan e-dagang.

“Berdasarkan trend pembangunan Bandar Malaysia baru-baru ini, nilai Bandar Malaysia dijangka meningkat.”

Pada 3 Mei lalu, TRX City Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan mengumumkan perjanjian jualan saham (SSA) dengan IWH-CREC membabitkan penjualan 60% daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd sudah luput dan terbatal.

TRX City dilaporkan berkata, ia berpunca daripada kegagalan IWH-CREC membuat pembayaran bagi pemilikan kepentingan dalam Bandar Malaysia.

IWH-CREC bagaimanapun menafikan dakwaan mereka gagal membuat pembayaran, sekalipun sudah diberikan penangguhan sebanyak 12 kali. Sebaliknya, konsortium kerjasama China-Malaysia itu menegaskan mereka sudah membuat semua bayaran itu kepada TRX City seperti termaktub dalam SSA.

IWH-CREC dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata, mereka mempunyai kemampuan dan sumber kewangan mencukupi untuk memastikan pembangunan Bandar Malaysia dilaksanakan secara lancar dan berjaya.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan seluas 197 hektar yang akan dimajukan di tapak lapangan terbang lama, Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi, 7km dari pusat bandar raya.