12 NGO berkampung di luar pejabat SUK tunggu Azmin

Azmin-ALi,-Kelab-Harmoni-Selangor,-LPHSSHAH ALAM: Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Kelab Harmoni Selangor (KHS) mengambil keputusan berkampung di luar pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor sehingga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menemui mereka.

Presiden KHS, Dr V Sunder berkata, mereka mahu menemui menteri besar Selangor itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek perumahan kos rendah di negeri berkenaan yang disifatkannya “menekan” rakyat.

Sunder bagaimanapun menolak wakil dari pejabat Azmin untuk menerima memorandum dan mendengar keluhan mereka.

“Kenapa susah sangat hendak bawa jumpa menteri besar Selangor. Kalau dia tidak mahu jumpa rakyat, apa guna dia jadi menteri besar.

“Kalau dia tidak boleh turun, kita akan letak kanopi di sini sehingga dia turun. Kita hanya hendak bertemu dengannya dan dapatkan penjelasan,” katanya kepada wartawan di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS), hari ini.

 

Azmin-ALi,-Kelab-Harmoni-Selangor,-LPHS2

Mengulas lanjut, Sunder mendakwa rumah kos rendah berharga RM43,000 dijual pada harga RM73,000 dengan alasan pemaju sudah melakukan pengubahsuaian.

“Di Taman Damai Utama, Puchong, rumah kos rendah dijual dengan harga RM73,000 dan penduduk ini diletakkan di tingkat paling atas.

“Malah, ada perumahan di blok C di situ, 110 unit masih tidak dijual dan ia masih kosong. Malah, sewaktu projek ini hendak dibangunkan, kosnya cuma RM43,000.

“Mengapa tiba-tiba dengan alasan pemaju melakukan pengubahsuaian dengan anggaran kos RM10,000, ia kemudiannya dijual pada harga RM73,000?” soalnya.

Sunder turut mendakwa masalah itu berpunca daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) sejak 3 tahun lalu.

“Saya boleh bawa bukti. Saya boleh cakap secara baik, secara lembut. Saya mahu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Pengawal keselamatan kemudiannya mengunci pintu pagar dan anggota polis turut dikerahkan mengawal di luar Bangunan SAAS kerana bimbang kumpulan yang dianggarkan terdiri daripada 50 individu itu bertindak di luar kawalan.

Sekatan jalan turut diadakan di laluan ke pintu masuk utama Bangunan SAAS.