18 perisian cetak rompak Microsoft Windows dirampas

kpdnkkMELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 18 perisian cetak rompak Microsoft dilengkapi sijil ketulenan (COA) palsu bernilai kira-kira RM18,000 di sebuah rumah di Taman Merbok, Bukit Katil, pada 3 Mei lepas.

Pengarah KPDNKK Melaka, Jaiya Abu berkata, pihaknya turut menahan seorang peniaga dalam talian berusia 29 tahun yang dipercayai menjual perisian itu di premis berkenaan dalam serbuan kira-kira 3 petang itu.

Beliau berkata, rampasan itu membabitkan 11 perisian Windows 7 dan 7 perisian Windows 10 bersama COA palsu yang dipercayai dijual antara RM500 dan RM600 setiap satu.

“Serbuan di rumah berkenaan dilakukan berdasarkan aduan wakil Microsoft tentang penjualan secara dalam talian perisian cetak rompak Microsoft dilengkapi COA palsu.

“KPDNKK mengambil berat peningkatan jualan barangan palsu atau tiruan secara dalam talian kerana peniaga tidak bertanggungjawab mendakwa ianya asli atau sah untuk mengaut keuntungan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Melaka, Hamzah Mahadi.

Jaiya berkata, pihaknya turut merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap salinan perisian dan penjara tidak melebihi 3 tahun.

Beliau berkata, COA tidak mempunyai nilai komersial dan tidak dijual secara berasingan daripada produk perisian, tetapi apabila ia disertakan pada perisian cetak rompak, ia memberi gambaran perisian berkenaan adalah tulen atau berlesen.

Katanya, COA membantu pengguna mengenal pasti perisian yang dibeli adalah tulen dan ia mempunyai beberapa ciri keselamatan sukar ditiru, namun sekiranya pengguna tidak berhati-hati, mereka mudah terpedaya.

Justeru, beliau berkata, pengguna dinasihatkan membeli produk perisian secara terus daripada pengedar sah dan mereka boleh merujuk cara mengenal pasti ketulenan perisian dijual melalui laman sesawang www.hoetotell.com atau Kempen Pengguna Dalam Talian #iamgenuine di http://iamgenuine.azurewebites.net.