2 tahanan warga Turki dibenar jumpa peguam, keluarga

Turgay-KaramanPETALING JAYA: Dua warga Turki, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik yang ditahan polis minggu lalu dibenarkan menemui ahli keluarga mereka hari ini, kata peguam 2 lelaki itu.

Rosli Dahlan berkata, polis turut membenarkan beliau menemui Turgay dan Ismet di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 11.30 pagi tadi.

“Ahli keluarga sudah diberitahu untuk berada di Bukit Aman pada jam 11.30 pagi juga, walaupun polis kata mereka hanya boleh menemui tahanan itu pada 2 petang,” katanya kepada FMT.

Ahli akademik dari Turki, Ismet ditahan kira-kira jam 5.30 petang 4 Mei lalu ketika menaiki kerata dengan anaknya, Suheyl dan seorang individu tidak dikenali.

Turgay pula pada awalnya disangkakan diculik kerana rakaman kamera litar tertutup menunjukkan 5 lelaki berpakaian biasa melarikannya di tempat letak kereta di Wisma E&C, Damansara Heights, pada 2 Mei lalu.

Seorang lagi warga Turki, Ihsan Aslan turut dilaporkan diculik pada hari sama selepas isterinya gagal menghubunginya pada malam hari kejadian.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya mengumumkan Ihsan dan Turgay sebenarnya ditahan polis kerana disyaki terbabit aktiviti mengancam keselamatan negara.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Turgay dan Ihsan ditahan kerana disyaki terbabit dengan militan IS.

“Kita mengikuti pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam penyebaran, mempengaruhi serta memberikan dana kepada aktiviti berkaitan IS, termasuk 2 warga Turki ini.

“Pusat Komunikasi Pintasan Mesej yang telah kita operasikan sekian lama juga ada dapatan berkenaan komunikasi yang mereka lakukan,” katanya sambil menambah 2 individu itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

 

‘Suami saya bukan ancaman kepada Malaysia atau Turki’