Adam Rosly ambil keputusan tepat bercuti, kata Azmin

azmin-2

SHAH ALAM: Timbalan presiden PKR menyifatkan tindakan Datuk Adam Rosly bercuti daripada jawatan parti sehingga perbicaraan kesnya di mahkamah selesai sebagai keputusan tepat.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu menghormati keputusan ketua Pemuda PKR Ampang itu kerana beliau berhak mempertahankan diri di mahkamah.

“Kita terima keputusan dia. Ia keputusan tepat supaya tidak dikaitkan dengan parti dan kita kena hormati proses undang-undang.

“Seseorang tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah. Dia ada hak untuk pertahankan diri dan proses itu akan dilalui,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Pada 21 April lalu, Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.

Rabu lalu, Adam berkata, beliau kekal komited dengan PKR dan akan kembali bertugas secara aktif sebaik sahaja dibebaskan daripada dakwaan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lepas berhubung banglo mewahnya di Kampung Melayu, Ampang.

Sementara itu, Azmin yang juga menteri besar Selangor menafikan berlaku pertelingkahan antara Adam dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Tidak ada pertelingkahan, itu permainan media,” katanya merujuk tindakan Adam mencabar Rafizi mendedahkan pendapatan serta perbelanjaan dana pusat penyelidikan Invoke serta Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) yang diasaskannya.

Jumaat lalu, Rafizi tampil mendedahkan pendapatan diperolehi Invoke sejak ditubuhkan sehingga 30 April 2017 iaah sebanyak RM2,780,652 dan kini jumlah itu berbaki RM386,212.

NOW pula, katanya, tidak mempunyai pendapatan sepanjang 2016 dan 2017 kerana tidak menganjurkan majlis atau kempen kutipan dana secara atas talian.

Rafizi dedah aliran wang NGO miliknya pula

Adam Rosly bercuti daripada jawatan PKR

Adam Rosly didakwa atas tuduhan beri keterangan palsu