Azmin: Menang PRU14 dulu, baru bincang siapa PM

azmin-ali_pakatan_600SHAH ALAM: Timbalan presiden PKR hari ini berkata tiada keutamaan untuk mengumumkan calon pakatan pembangkang untuk perdana menteri kerajaan baharu sehingga selepas menang pilihan raya umum.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian ketika ditanya mengenai bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, yang mempertikaikan keengganan Pakatan Harapan menamakan calon perdana menteri mereka.

“Siapa jadi perdana menteri kita tunggu menang dahululah. Menang pilihan raya umum terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di suatu majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

“Setiap parti, setiap individu mempunyai daya tarikan masing-masing, ada kekuatan masing-masing. Bagi saya, kita tumpu dan garapkan semua kekuatan.”

Zaid di blognya hari ini membidas pakatan pembangkang kerana tidak mahu menamakan siapa yang bakal mengepalai kerajaan baharu mereka.

“Jika pun PH ada calon, pemimpinnya tidak memberitahu kita. Ini amat pelik. Ia menunjukkan, mereka tidak berani membuat keputusan walaupun mengenai perkara paling dasar,” kata Zaid yang menyertai DAP pada Februari lalu.

Zaid tanpa berselindung mahu Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan calon perdana menteri memandangkan ahli politik veteran itu boleh menarik sokongan pengundi Melayu, termasuk warga Felda, dan seterusnya memastikan kemenangan PH.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003.

Zaid berkata sikap membisu pembangkang mengenai calon PM hanya menguatkan serangan Umno, yang mendakwa pemimpin DAP Lim Kit Siang bakal menjadi perdana menteri mereka.

Sabtu lalu, bekas pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman, juga mempertikaikan keengganan Pakatan Harapan memuktamadkan siapa bakal memimpin kerajaan mereka sekiranya menang pada pilihan raya umum yang boleh diadakan bila-bila masa mulai sekarang.

“Rakyat ingin tahu siapa yang benar-benar akan dilantik menjadi perdana menteri untuk membolehkan mereka membuat keputusan parti mana yang akan diundi dalam PRU 14,” kata Kamarulazman.

Kalau nak menang, lantik Dr Mahathir jadi PM, kata Zaid