Azmin tolak cadangan rombak kerajaan Selangor

azmin-selangor-1

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini menolak cadangan Pemuda Amanah yang mencadangkan barisan kepimpinan kerajaan negeri dirombak, susulan usul PAS memutuskan kerjasama dengan PKR.

Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin hari ini dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata rombakan perlu bagi memperkukuh gabungan PKR, DAP, Amanah dan PPBM di Selangor dan mengelakkan kerajaan negeri jatuh ke tangan BN.

Azmin ketika ditemui pemberita di suatu majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini menolak cadangan itu, dengan berkata pengundi juga memilih PAS pada pilihan raya lepas untuk membentuk kerajaan negeri bersama PKR dan DAP.

“Mereka yang memilih bukan saya,” katanya sambil menambah rakyat memilih 15 wakil rakyat PAS, DAP (15) dan PKR (14). “Mandat ini untuk 1 penggal. Untuk penggal akan datang kita serahkan semula kepada rakyat.”

Azmin juga mengingatkan kerajaannya terbentuk bukan berdasarkan kepartian, tetapi sokongan majoriti ahli Dewan Negeri Selangor.

“’Persetankan’ mereka yang mabuk mencari publisiti dan populariti murahan. Mana-mana pihak termasuk individu atau kumpulan yang cuba khianati amanah ini, akan kita perangi mereka habis-habisan di Selangor,” katanya.

Perwakilan PAS pada mesyuarat agung tahunan parti itu baru-baru ini sebuat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR. Usul itu kini diangkat ke Majlis Syura Ulama PAS untuk dimuktamadkan.

Menjawab perkembangan itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata sekiranya usul diterima, ia perlu disusuli dengan peletakan jawatan semua ahli PAS yang kini sebahagian daripada kerajaan Selangor.

Di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri, PAS diwakili 3 exco iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib, serta mempunyai ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Shafie Ngah juga daripada PAS.

Di sebalik spekulasi Azmin berdepan kehilangan sokongan, majoriti Adun Selangor 5 Mei lepas menyambut kepulangannya dari luar negara sebagai tanda solidariti.

Iskandar semalam menyatakan PAS Selangor akan tetap bersama kerajaan negeri yang dipimpin Azmin.

PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum 2008 apabila mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP berjaya menawan negeri itu daripada Barisan Nasional.

Selepas perpecahan dan letak jawatan atau pemecatan, kedudukan sekarang menyaksikan PKR mempunyai 12 kerusi, DAP 14 kerusi, PAS 13 kerusi, BN 12 kerusi, Amanah 2 kerusi dan Bebas 2 kerusi.