Bekas pegawai khas Datuk Bandar Melaka didakwa, libatkan RM19 juta

Mohd-Yusof-Abu-HassanMELAKA: Seorang bekas pegawai khas kepada Datuk Bandar Melaka hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM19.3 juta.

Mohd Yusof Abu Hassan, 56, didakwa dengan 15 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 (Akta 613), dan 4 lagi mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK).

Yusof mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibaca di hadapan hakim Norma Ismail.

Beliau antara lain didakwa memindahkan wang berjumlah 8,188,074.87 hasil daripada aktiviti haram di antara Mac dan September 2016.

Yusof juga dituduh menggunakan dua cek kepunyaan Taraf Budi Development Sdn. Bhd. dan SP Enterprise Sdn. Bhd., bernilai RM11.2 juta, antata Februari dan Ogos 2016.

Awal Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di pejabat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bagi merakam kenyataan berhubung siasatan kes rasuah beberapa pegawai kerajaan negeri.

Yusof ditahan buat kali ketiga malam tadi di pejabat SPRM ketika dipanggil memberi kenyataan, selepas ditangkap pada 28 November dan 2 Disember tahun lalu.

Mahkamah hari ini menetapkan ikat jamin berjumlah RM1.6 juta.