Lapangan terbang Pulau Pinang perlu dinaik taraf, kata Guan Eng

lim-guan-eng-penang-airport-1

GEORGE TOWN: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang perlu dinaik taraf dengan kadar segera demi “kepentingan negara”, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan pemulihan infrastruktur memandangkan kadar ketibaan meningkat sebanyak 26% dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merupakan lapangan terbang ke-2 paling sibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mencatatkan 6.2 juta ketibaan tahun lepas.

Kapasiti lapangan terbang Pulau Pinang sekarang hanya boleh menampung 6.5 juta penumpang sehingga 2020, katanya.

“Adalah penting untuk menaik taraf berdasarkan situasi sekarang. Ketibaan yang agak memberangsangkan menunjukkan promosi pelancongan negeri telah berjaya,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar di sini.

“Kerajaan pusat perlu melihat ini dari segi perspektif nasional dengan membenarkan lapangan terbang ini dinaik taraf.”

Pada November lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata wujud permintaan untuk menaik taraf lapangan terbang ini namun tidak boleh dipertimbangkan atas faktor “kekangan peruntukan yang dialami kerajaan persekutuan”.

Ia masih tidak terhasil walaupun peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi di kementerian Jabatan Perdana Menteri dipohon menerusi pelan ke-2 dalam Bajet 2017.

Dilaporkan permohonan itu meliputi perolehan 50 hektar tanah, meluaskan saiz terminal untuk menampung kapasiti tahunan sebanyak 11.5 juta penumpang, penambahan kawasan parkir dan pemunggahan pesawat, dan pembesaran kemudahan kargo.

Guan Eng berkata jika kerajaan mahu membina landasan ke-2, ia boleh dilakukan melalui penambakan di pantai berdekatan.

“Persoalannya bukan sama ada atau tidak kita boleh melakukannya ataupun tidak. Kita pernah berbincang mengenainya, tetapi kami berharap tindakan akan diambil dan bukannya hanya cakap-cakap sahaja. ”

Lapangan terbang itu dinaik taraf pada 2012 dengan kos RM250 juta yang ditanggung kerajaan persekutuan. Kini lapangan terbang ini dapat menampung sehingga 6.5 juta penumpang.

Sebelum itu, lapangan terbang ini dinaik taraf pada 2001 untuk menampung 5 juta penumpang.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk Sabah menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan yang akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata keputusan untuk melaksanakan projek itu tidak dijadualkan dalam Rancangan Malaysia ke-11, dan dibuat ketika bermesyuarat dengan pegawai industri pelancongan tempatan semasa tinjauan di Sandakan Harbour Square 3 Mac lepas.