Lelaki tipu forex ditahan

handcuff-forexJITRA: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas terbabit dalam kes penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta di sekitar negeri Kedah.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Sahabudin Manan berkata suspek ditahan di depan sebuah bank di Kota Sarang Semut kira-kira 4.30 petang semalam dan polis merampas 2 keping kad ATM serta sebuah telefon bimbit jenis Huawei milik suspek.

“Semalam kita mendapat aduan daripada seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun yang mendakwa melaburkan wang sebanyak RM50,000 kepada suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan 50% daripada jumlah wang yang dilaburkan setiap 2 minggu, namun sehingga kini, pelabur belum menerima keuntungan yang dijanjikan.

Suspek dikatakan baru sahaja menjalankan aktiviti penipuan itu dan sehingga kini lebih 10 orang menjadi mangsa dan polis percaya lebih ramai lagi yang belum tampil membuat laporan.

“Suspek juga tidak mengiklan atau mempengaruhi mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, tapi kita percaya ia lebih daripada kaedah mulut ke mulut,” kata Shahabudin.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan mewah dalam masa yang singkat.

Suspek yang berasal dari Sungai Limau, Yan, direman selama 4 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.