Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata menteri

Idris-Jala_malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang betul menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 setelah Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencecah US$10,570 pada 2015, hanya 15% kurang daripada angka pendapatan tinggi semasa iaitu US$12,475 yang ditetapkan Bank Dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Associates Sdn Bhd Datuk Seri Idris Jala berkata, Malaysia boleh mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2015 jika ringgit disebut harga pada RM3.20 berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, selagi eksport Malaysia berkembang walaupun ringgit lemah ketika ini kita masih di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 2020,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Penyelidikan dan Siri Pengetahuan Pengalaman Pembangunan Malaysia dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Idris berkata Malaysia boleh melepasi PNK per kapita sebanyak 3% pada 2015 jika mata wang kekal pada paras RM3.20 pada 2010 berbanding dolar AS.

Beliau berkata Bank Dunia, bagaimanapun masih belum mengumumkan sasaran berpendapatan tinggi pada 2020.

“Malah, Bank Dunia mengurangkan angka PNK per kapita untuk 2 tahun berturut-turut kerana kekayaan negara berpendapatan tinggi turun,” katanya.

Idris Jala berkata 58 negara mengalami penurunan dalam PNK per kapita mereka pada 2015 menyaksikan Australia mengalami kejatuhan terbesar sebanyak US$4,580, Kanada menyusut sebanyak US$4,500, Jepun (US$5,150), Switzerland (US$1,620), Brunei (US$4,300) dan Singapura (US$1,870).

Beliau tetap optimis sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi boleh dicapai, memandangkan pertumbuhan perdagangan Malaysia lebih kukuh berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata Malaysia berada pada landasan betul untuk mencapai pertumbuhan eksport sebanyak 5% tahun ini, lebih tinggi daripada 4.5% yang dianggarkan ramai pakar ekonomi.