Mansuh dasar kabotaj: Labuan masih bergantung kepada Sabah

SabahLABUAN: Pemansuhan dasar kabotaj yang dilaksanakan lebih 30 tahun dijangka memberi manfaat ekonomi besar kepada pulau bebas cukai ini, terutama pengguna dan pedagang di sini.

Ini disebabkan pulau ini bergantung besar kepada makanan import sejak berdekad lamanya dari tanah besar Sabah.

Presiden Dewan Usahawan Melayu Sabah, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata, harga barang keperluan termasuk bahan pembinaan secara tradisinya ditetapkan pengilang, pemborong dan pengimport dari tanah besar.

“Sama ada pemansuhan dasar kabotaj itu bermula 1 Jun akan memberi manfaat kepada pulau ini masih bergantung kepada peniaga dari tanah besar yang menentukan harga barangan.

“Seperti yang dilaporkan, harga barangan di Sabah secara relatifnya kira-kira 20 hingga 30% lebih tinggi berbanding di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alias berkata, pada 1980-an, pulau bebas cukai itu merupakan syurga beli-belah bagi pelbagai produk seperti barangan elektrik, pakaian, fabrik dan kasut yang harganya lebih murah daripada tempat lain, sekali gus meningkatkan jumlah pengunjung serta jualan.

Keistimewaan itu tidak lagi dinikmati pulau itu selepas mereka tidak menerima penghantaran barangan secara langsung disebabkan jumlah kargo yang kecil.

Alias berkata, Labuan Liberty Port hanya meraih manfaat pemansuhan dasar kabotaj jika terdapat jumlah kargo besar untuk dihantar ke pulau ini.

“Bagi kami, untuk lebih sedekad, pelabuhan ini mengendalikan hampir 90% bahan, produk kimia untuk sektor minyak dan gas dan hanya 5 hingga 10% barang makanan. Perlu ada jumlah kargo besar (barangan pengguna) yang dihantar ke pulau ini.

“Pada masa ini, Labuan bergantung besar kepada tanah besar Sabah untuk pelbagai sumber memandangkan ia (Labuan) sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, tidak mempunyai kilang makanan utama seperti beras dan gula untuk aktiviti eksport,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan dasar kabotaj hanya memberi manfaat jika pedagang dan pengeksport di Sabah menurunkan harga barangan memandangkan harga penghantaran kontena atau kargo turun pada kadar besar.

Ahad lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan dasar kabotaj ke atas Sabah, Sarawak dan Labuan, mulai 1 Jun 2017.

Dasar kabotaj diperkenalkan pada 1 Januari 1980 dengan matlamat melindungi dan mempromosikan industri pemilikan kapal nasional.

Menerusi dasar itu, hanya kapal berdaftar di Malaysia dibenarkan memunggah dan memuatkan kargo di semua pelabuhan dalam negara.