P Pinang minta Kedah beri data pembalakan Ulu Muda

jaseni

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini menuntut kerajaan Kedah mengeluarkan semua fakta dan angka berkaitan aktiviti pembalakan di Ulu Muda, daripada sekadar mendakwa ia tidak mengancam bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa berkata kerajaan negeri perlu membuka semua laporan yang menyokong dakwaan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda tidak menjejaskan kawasan tadahan air.

“Bolehkah Kedah berikan laporan hidrologi, rekod taburan hujan, rekod paras air dan rekod kapasiti storan berkesan empangan air yang berkaitan bagi menyokong dakwaan itu?” katanya pada sidang media hari ini.

Jaseni turut menyenaraikan soalan lain yang perlu dijawab kerajaan Kedah:

• Bolehkah Kedah mengesahkan sama ada keluasan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda adalah 41,375ha atau 160,000ha?

• Daripada 46,264ha hutan yang dibalak di Kedah dari 2009 hingga 2014, berapa banyak hektar di Ulu Muda?

• Setakat ini, berapa banyak hektar di Ulu Muda yang belum dibalak?

• Bolehkah Kedah tunjukkan, pada peta, lokasi sebenar dan saiz kawasan tadahan dan kawasan pembalakan “berlesen”?

• Bolehkah Kedah berikan laporan hidrologi, rekod taburan hujan, rekod paras air dan rekod kapasiti storan berkesan empangan air yang berkaitan bagi menyokong dakwaan kawasan tadahan air tidak terjejas?

PBAPP membuat tuntutan itu kerana bimbangkan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, terutamanya di kawasan hulu Sungai Muda.

PBAPP menggesa kerajaan Kedah menghentikan pembalakan di sekitar kawasan itu kerana ia merupakan kawasan tadahan air yang penting buat Kedah dan Pulau Pinang, di mana 80% daripada sungai itu dirawat untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Kedah bagaimanapun mendakwa pembalakan berlesen hanya dijalankan di 30% kawasan Ulu Muda, dan aktiviti pembalakan tidak menjejaskan alam sekitar.