Pakar ekonomi: Gugur China, lantik Jepun bina Bandar Malaysia

ho-ke-ping-bandar-malaysia-3PETALING JAYA: Malaysia akan terima lebih banyak manfaat jika Jepun yang bina Bandar Malaysia berbanding China, kata seorang penganalisis ekonomi.

Ini kerana Jepun akan menyediakan pekerjaan dan membantu memacu ekonomi Malaysia, kata Hoo Ke Ping.

“Mereka hanya bawa masuk sistem, reka bentuk, rangka tindakan dan jurutera.

“Mereka akan beli besi keluli dari kita kerana harga besi keluli Jepun yang mahal. Mereka tidak akan bawa masuk jubin, bahan binaan atau pekerja mereka,” katanya kepada FMT.

Ke Ping mengulas langkah kementerian kewangan 3 Mei lalu yang membatalkan perjanjian penjualan saham antara TRX City dan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC).

TRX City berkata pembatalan itu kerana kegagalan IWH-CREC menunaikan pembelian bernilai RM7.61 bilion untuk 60% ekuiti, walaupun selepas 12 kali lanjutan diberikan.

Bercakap kepada FMT, Ke Ping berkata pelaburan China dalam Bandar Malaysia mungkin tidak akan menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Ini terbukti daripada pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Mereka bawa restoran, setiausaha, pekerja, besi keluli dan batu bata tersendiri.”

Beliau berkata pada masa ini, pinjaman bank di Malaysia untuk perumahan mewakili 30% daripada pinjaman kewangan. Sesetengah pinjaman itu untuk projek perumahan yang diletakkan harga terlalu tinggi, terutamanya pada 2014 dan 2015, tetapi kini dinilaikan pada harga yang lebih rendah.

Namun dengan TRX City, tambahnya, akan ada lebihan unit pejabat dan perumahan dalam kawasan bandar.

“Kerana itu, jika terdapat lebih banyak pinjaman infra jangka panjang, ia mungkin membawa kepada krisis.”

Kebanyakan krisis kewangan di dunia disebabkan pinjaman hartanah, katanya.

“Krisis hartanah membawa kepada krisis bank. Itu membawa kepada krisis mata wang.”

Kerana itu, katanya, projek Bandar Malaysia perlu dilaksanakan secara berfasa.

“Sesiapa pun yang masuk perlu meneruskan projek itu secara perlahan-lahan, supaya tidak terlalu banyak pembangunan atau lebihan hartanah di Lembah Klang,” katanya.

Lagipun, Jepun juga mempunyai wang tunai untuk menjayakan projek itu, tambahnya.

Perkara itu boleh dilihat daripada pelaburan Jepun di India dan Indonesia. Di India, Jepun menandatangani perjanjian AS$20 bilion untuk membina kereta api laju, dan lebih banyak perjanjian akan ditandatangani untuk membangunkan laluan yang menghubungkan seluruh negara itu.

Jepun juga menandatangani perjanjian dengan Thailand mencecah AS$8 bilion untuk membina laluan kereta api berkelajuan tinggi dari Chiang Mai ke Bangkok.

Ke Ping menambah keadaan politik Jepun juga kukuh dan positif, malah kadar faedah mereka juga rendah.

Sementara China pula berdepan masalah kewangan dan kekuarangan dolar AS, katanya.

Bandar Malaysia, yang akan dibangunkan di tapak bekas pangkalan udara Sungai Besi dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Antara lain, ia bakal menempatkan Bandar Internet Kuala Lumpur, hab zon bebas dagangan digital baharu.

Ia juga akan menjadi teras pengangkutan negara, menghubungkan laluan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, laluan MRT, KTM Komuter, laluan kereta api ekspres dan 12 lebuhraya.