Tiada RUU 355 tanpa skandal 1MDB, kata Guan Eng

ruu-1mdb-lim-guan-engGEORGE TOWN: Rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mungkin dibentangkan di Dewan Rakyat jika tiada skandal 1MDB, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata, RUU itu hanya diketengahkan di Parlimen dengan sokongan Umno kerana perdana menteri cuba membentuk pakatan dengan PAS untuk mencari penangguhan daripada isu 1MDB.

“Jika tiada 1MDB, saya percaya tidak akan ada RUU 355,” katanya dalam sebuah forum bertajuk “Skandal 1MDB: Apa seterusnya” anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, semalam.

Hadi membentangkan RUU 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah pada sidang Dewan Rakyat lepas yang berakhir bulan lalu.

Bagaimanapun, perbahasan RUU itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya pada Julai nanti.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, Najib juga bertindak menyimpang daripada ikrar kempen pada pilihan raya umum 2013 dengan menyokong pindaan Akta 355.

“Disebabkan (Najib) terdesak mencari rakan kongsi, untuk menyelamatkan dirinya, beliau sanggup melupakan Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau sanggup melepaskan dasar asas partinya dengan bekerjasama dengan PAS untuk RUU 355.

“Dan itulah sebabnya anda boleh melihat tekanan yang dikenakan bukan sahaja ke atas ekonomi kita tetapi juga politik dan sistem. Semua kerana 1MDB,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Beliau berkata, ia juga mengecewakan apabila PAS tidak mengambil “pendirian tegas” mengenai 1MDB.

“Lebih teruk apabila anda bercakap mengenai 1MDB, mereka (PAS) kembali kepada undang-undang Islam dan kata perlu mempunyai 4 saksi,” katanya.