Abang Johari ikrar bina LRT untuk Kuching

abg-johari-train

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg tekad meneruskan rancangan membina sistem transit aliran ringan walaupun dikritik pembangkang yang mengatakan ada alternatif yang lebih murah untuk menambahbaik pengangkutan awam.

Abang Johari mencadangkan sistem LRT menghubungkan Kuching, Serian dan Samarahan menggunakan kenderaan elektrik cemar sifar.

“Orang kata saya berangan. InsyaAllah, bila saya tetapkan sesuatu saya tidak akan berganjak,” kata Abang Johari kepada hadirin di makan malam ulang tahun Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) malam tadi.

Ketua menteri menjangkakan pembinaan laluan utama antara Serian dan Damai, sebuah kawasan percutian di Santubong, akan bermula 2020.

Jarak antara 2 pekan itu, sekiranya merentasi ibu negeri, melebihi 80km.

“Saya pernah pulihkan beberapa kementerian bermasalah.

“Saya ambil alih kementerian perumahan yang mengalami hutang RM30 juta dan kini ia menjadi organisasi yang menguntungkan.

“Dengan pengalaman itu, saya yakin wawasan kita memiliki sistem LRT akan dilaksanakan. Pegang kata-kata saya ini,” kata Abang Johari.

DAP sebelum ini mengkritik cadangan itu, mengatakan kos membina dan mengusahakan LRT 20 kali ganda lebih tinggi berbanding membeli bas baharu dan mengambil pemandu untuk mengadakan laluan baharu.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata kos LRT mungkin mencecah RM20 bilion untuk laluan Kuching-Serian sahaja, berdasarkan kiraan projek tambahan LRT di Kuala Lumpur yang meliputi 34km.

Pembinaan itu, yang bermula pada 2010, menelan kos RM7 bilion.

Abang Johari berkata LRT akan memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan dan pelancong, yang mahu melawat Taman Semenggok di Serian untuk melihat orang utan atau bermain golf di Damai.

Sistem LRT itu dijangka dibiayai oleh Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan diuruskan oleh SEDC.

Beliau berkata stesen LRT akan menambahbaik ekonomi setempat dengan menyediakan “kemudahan perniagaan kepada penduduk di sepanjang laluan”. Beliau juga membayangkan pembinaan bandar baharu di sepanjang laluan LRT.

“Lim Guan Eng (ketua menteri Pulau Pinang) mahu melakukannya untuk Pulau Pinang. Mereka gunakan model lain. Mereka bergantung kepada kerajaan persekutuan.

“Kita tak terlalu bergantung kepada mereka,” kata Abang Johari.

“DAP kata saya cakap kosong. Tidak apa. Kita tengok. Tunggu 3 tahun. Kita tengok siapa cakap kosong. Kita akan tunaikan janji kita.”

Dalam kenyataan sebelum ini, Chieng Jen mengkritik cadangan Abang Johari, mengatakan perkhidmatan bas percuma lebih bermanfaat dari segi kos berbanding LRT, yang menurutnya tidak dapat digunakan oleh penduduk luar bandar.

“Saya menyeru Abang Johari supaya tidak bercakap kosong mengenai laluan LRT dari Kuching ke Serian dan sekarang ini bas elektrik untuk Sarawak.

“Ada perbezaan antara wawasan dan angan-angan,” katanya.