Expo Pemuda Umno tawar lebih 10,000 peluang pekerjaan

expo-pemuda-2

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada 100 syarikat menanti pengunjung sempena Expo Pemuda Umno yang berlangsung selama 2 hari bermula hari ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Pengerusi Biro Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Umno Dazman Shah Daud berkata menerusi expo itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sehingga graduan universiti boleh memohon pelbagai segmen pekerjaan yang ditawarkan antaranya perbankan, kejuruteraan, khidmat sokongan dan pentadbiran.

“Ada syarikat yang yang menjalankan terus sesi temu duga dan jika berjaya, surat tawaran segera dikeluarkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata syarikat terkemuka yang membuat pameran di expo berkenaan termasuk SP Setia Bhd; Naza Corporation Holdings Sdn Bhd; Westports Malaysia Sdn Bhd; CIMB Bank Berhad; Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju); Telekom Malaysia Berhad; Boustead Holdings Berhad; Kumpulan SME Bank dan Prasarana Malaysia Berhad.

Expo berkenaan diadakan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Umno ke-71 yang bakal diadakan di stadium berkenaan malam esok.

Dazman Shah berkata selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan sesi klinik mengenai persiapan menghadapi temuduga, penulisan resume dan bicara peluang perniagaan oleh pempamer yang terlibat.

“Sambutan agak luar biasa dan pagi tadi sahaja sudah mencecah lebih 3,000 pengunjung, jadi tidak mustahil esok lebih ramai akan hadir,” katanya.

Sementara itu, David Francis, 36, dari Shah Alam berkata beliau datang ke expo itu kerana mahu mencari pekerjaan selepas kehilangan kerja setelah syarikatnya tidak lagi beroperasi.

“Ini peluang yang bagus untuk pencari kerja kerana tidak perlu pergi ke setiap syarikat, di sini kita boleh berurusan dengan banyak majikan dalam satu tempat,” katanya.

Pelajar Kulinari Kolej Yayasan Johor, Muhammad Khairul Md Jefri, 18, pula berkata walaupun hanya akan bergraduasi pada September ini, beliau mahu mendapatkan tawaran pekerjaan dengan segera.

“Saya ingin mencuba nasib kerana peluang pekerjaan pada masa hari ini amat kompetitif,” katanya.