Jenayah hanya sebahagian daripada syariah, kata bekas hakim

Ismail-Yahya-hadi-lawKUALA LUMPUR: Bekas ketua hakim syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya mengkritik penyokong rang undang-undang persendirian yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana hanya mengiktiraf 1 daripada pelbagai cabang syariah.

“Kenapa mereka hanya fokus kepada undang-undang jenayah?” soalnya dalam sebuah forum mengenai rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, malam tadi.

RUU 355 yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah, mencadangkan hukuman penjara maksimum kepada pesalah syariah dinaikkan kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Ismail berkata, syariah merangkumi beberapa aspek kehidupan termasuk ibadah, perkahwinan, muamalat (peraturan berkaitan perkara duniawi seperti perniagaan, perdagangan dan perdagangan), peraturan, jenayah, hubungan antarabangsa dan akhlak.

Beliau memberi contoh muamalat sebagai 1 cabang yang boleh ditingkatkan.

“Kita suka kata perbankan Islam kita hebat, tetapi sebenarnya apa yang kita lakukan ialah mengambil perbankan konvensional dan menggunakan istilah Islam.

“Mengapa tidak beri tumpuan kepada (perkara) ini? Kita mengabaikannya sama sekali dan terus ke cabang jenayah.”

Katanya, penyokong RUU Hadi perlu sedar ada cara lain untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Tanya diri anda, adakah meningkatkan hukuman untuk jenayah satu-satunya cara memperkasakan Mahkamah Syariah?

“Adakah keadilan benar-benar berlaku di Mahkamah Syariah? Tanya golongan wanita jika mereka fikir mahkamah adalah adil dan mereka akan beritahu anda tidak.”